KUALA LUMPUR : Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menuntut kesemua Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan mengemukakan pendirian mereka berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Timbalannya, Amira Aisya Abd Aziz, keputusan melepaskan tanpa bebas terhadap Ahmad Zahid menunjukkan kerajaan seolah-olah tidak memperjuangkan isu salah guna kuasa dan rasuah.

“Keputusan semalam jelas menunjukkan Kerajaan Perpaduan tidak benar-benar memperjuangkan isu salah laku kerana ini bukan kes pertama, sebelum ini MUDA sudah pernah tuntut penjelasan tapi tiada (jawapan).

“Semalam garisan merah sudah dilangkaui dan ini amat serius. Saya rasa rakyat berhak tahu apa pendapat Ahli Parlimen mereka tentang isu besar ini,” katanya ketika sidang media pada Selasa.

Tegas Amira, partinya juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terutamanya membabitkan kedudukan partinya dalam kerajaan.

Ini termasuk usaha menggerakkan kempen ‘Dakwa Zahid’ sekiranya tiada sebarang penjelasan yang tuntas berhubung keputusan berkenaan.

“AGC perlu jelaskan kepada rakyat kerana ini bukan kes kecil tapi kes berprofil tinggi. Apakah tindakan AGC untuk mengurus kepercayaan orang ramai apabila sehingga hari ini belum ada penjelasan?

“Semalam sudah ada yang menuntut penjelasan tapi belum ada sehingga kini. Adakah keputusan untuk melepas tanpa membebaskan terhadap Zahid akan jadi satu kes presiden kepada mana-mana ahli politik yang dihadapkan ke mahkamah nanti,” ujarnya lagi.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin memutuskan Ahmad Zahid dilepaskan tanpa bebas berkaitan 47 tuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram milik dana Yayasan Akalbudi.

Keputusan itu dibuat selepas pihak Timbalan Pendakwa Raya memaklumkan Jabatan Peguam Negara tidak berhasrat untuk meneruskan prosiding terhadap Ahmad Zahid.