KUALA LUMPUR: Usaha memperkukuh keselamatan negara tidak boleh mengorbankan hak asasi manusia, sebaliknya kedua-duanya perlu bergerak seiring menerusi kerangka perundangan yang berkesan, seimbang dan berpandangan jauh, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran.
Beliau berkata persoalan yang perlu dibincangkan bukan sama ada negara memerlukan undang-undang lebih tegas atau lebih longgar, tetapi bagaimana membentuk kerangka perundangan yang mampu melindungi keselamatan negara tanpa mengetepikan prinsip kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia.
“Dalam konteks inilah agenda reformasi undang-undang menjadi semakin penting. Reformasi bukan bermaksud undang-undang sedia ada telah gagal. Sebaliknya, ia proses penambahbaikan yang berterusan bagi memastikan undang-undang sentiasa sesuai dengan perkembangan teknologi, perubahan masyarakat dan cabaran baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Simposium Berkenaan Jenayah Berhubung Keselamatan Negara: Menilai Semula Keberkesanan Undang-undang dalam Mendepani Ancaman Semasa dan Hala Tuju Masa Hadapan di Bangunan Parlimen, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin dan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Semakan Undang-Undang (JKPK SUU) Majlis Dewan Negara Senator Rita Sarimah anak Patrick Insol.
Kulasegaran berkata perubahan landskap ancaman keselamatan yang kini merangkumi serangan siber, penyebaran maklumat palsu, campur tangan asing, jenayah rentas sempadan, pembiayaan keganasan serta penyalahgunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan menuntut kerangka perundangan negara sentiasa responsif terhadap cabaran semasa.
Beliau berkata dalam memperkukuh keselamatan negara, setiap tindakan mesti kekal berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan undang-undang dan prinsip keadilan.
“Dalam mendepani ancaman keselamatan negara, tiada satu institusi mampu bertindak secara bersendirian. Keselamatan negara memerlukan pendekatan whole-of-government (pendekatan menyeluruh kerajaan) dan whole-of-society (pendekatan menyeluruh masyarakat), melibatkan kerajaan, institusi Parlimen, sektor swasta, akademia, masyarakat sivil dan rakyat secara keseluruhannya,” katanya.
Terdahulu, Rita Sarimah dalam ucapan aluannya berkata ancaman keselamatan kini tidak lagi terhad kepada aspek ketenteraan atau pertahanan sempadan, sebaliknya merangkumi jenayah siber, penyebaran maklumat palsu, ekstremisme, jenayah rentas sempadan, pengintipan, campur tangan asing, serangan terhadap infrastruktur kritikal serta penyalahgunaan teknologi baharu seperti AI.
Beliau berkata perkembangan itu menuntut kerangka perundangan negara turut berkembang seiring perubahan semasa bagi memastikan keselamatan negara terus terpelihara.
“Justeru, persoalan yang perlu kita renungkan bukanlah sama ada undang-undang keselamatan negara perlu berubah, tetapi sejauh mana perubahan itu perlu dilakukan supaya ia kekal relevan, berkesan dan mampu memenuhi keperluan negara pada masa hadapan,” katanya.
Rita Sarimah berkata ancaman keselamatan masa kini turut dipengaruhi ancaman hibrid yang menggabungkan elemen fizikal, digital, ekonomi, psikologi dan geopolitik secara serentak sehingga mendorong banyak negara menilai semula undang-undang keselamatan masing-masing tanpa mengabaikan prinsip demokrasi, kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata Dewan Negara memainkan peranan semak dan imbang yang penting dalam meneliti dasar serta perundangan secara lebih mendalam, objektif dan berpandangan jauh.
Beliau berkata JKPK SUU pula menjalankan penelitian bebas, profesional dan berasaskan bukti terhadap undang-undang yang sedang berkuat kuasa bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan yang boleh dipertimbangkan kerajaan serta Parlimen.
-- BERNAMA