PUTRAJAYA: Keselamatan negara memerlukan peranan bersepadu semua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), dengan setiap agensi melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam memastikan rakyat dapat hidup dalam keadaan aman dan selamat.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kekuatan penguatkuasaan bukan hanya diukur berdasarkan jumlah tangkapan atau nilai rampasan, sebaliknya turut bergantung kepada integriti anggota yang diberi amanah.
"Setiap agensi di bawah KDN mempunyai peranan tersendiri tetapi semuanya bergerak menuju matlamat yang sama.
"Pelbagai agensi dengan tanggungjawab yang berbeza tetapi satu matlamat yang sama iaitu Malaysia yang selamat untuk rakyat," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Beliau berkata keupayaan mengesan ancaman merupakan antara aspek penting dalam rangkaian keselamatan negara termasuk menerusi risikan dan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan bunga ganja bernilai RM33.4 juta.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata Jabatan Imigresen (JIM) bukan sahaja menahan 59 pendatang tanpa izin baru-baru ini tetapi juga memutuskan rangkaian pengangkutan yang memudah cara kegiatan berkenaan.
"Di perairan negara, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terus memperkukuh kawalan sempadan termasuk menahan sebuah vesel yang membawa 36 warga Indonesia," katanya.
Beliau berkata aspek keselamatan di darat, laut serta setiap pintu masuk negara perlu terus dikawal dan dipertahankan.
Sehubungan dengan itu, beliau menghargai keberanian anggota PDRM, JIM dan APMM yang memilih untuk melaporkan atau menolak rasuah ketika menjalankan tanggungjawab mereka.
"Inilah rangkaian keselamatan KDN yang kita bina dan perkukuh setiap hari dalam mengesan ancaman, memutuskan rangkaian jenayah, mengukuhkan sempadan dan mempertahankan integriti,” katanya.
-- BERNAMA