Skip to main content

Malaysia

Keselamatan pelancong jadi keutamaan, piawaian bas pelancongan diperketat - Tiong King Sing

MOTAC
Tiong King Sing (barisan kedua, tengah) hadir Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara jenama kenderaan komersial tempatan, CAM dan Malaysian Inbound Tourism Association (MITA), pada Sabtu. -Foto MOTAC

KUALA LUMPUR: Keselamatan pelancong tidak boleh dikompromi dalam usaha memperkukuh industri pelancongan negara, tegas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Beliau berkata walaupun sektor pelancongan merupakan penyumbang penting kepada ekonomi, kejayaan industri itu tidak boleh diukur berdasarkan pertumbuhan semata-mata.

Advertisement

“Beberapa kemalangan tahun lalu menjejaskan imej negara.

"Pelancong sepatutnya menikmati pengalaman yang selamat dan menyenangkan, bukan pulang dengan kebimbangan.

“Kita perlu berani berdepan dengan isu yang ada, mempertingkatkan standard dan tidak berkompromi dalam soal keselamatan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

King Sing berkata demikian selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara jenama kenderaan komersial tempatan CAM dan Malaysian Inbound Tourism Association (MITA) pada Sabtu.

Menurutnya, penaiktarafan teknologi dan kenderaan pelancongan yang dipamerkan pada majlis itu mampu meningkatkan standard keselamatan dalam industri.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang berbincang dengan Kementerian Pengangkutan bagi menyelaras kelulusan lesen serta pengurusan bas pelancongan di bawah satu kementerian.

“Inisiatif ini bertujuan memperkukuh pemantauan, meningkatkan kecekapan tadbir urus dan memastikan tahap keselamatan yang konsisten,” kata King Sing.

Tambahnya, kementerian turut meneliti cadangan memperketat piawaian prestasi kenderaan dan menetapkan tempoh penggunaan bas pelancongan.

Pada masa depan, ujarnya, pengusaha mungkin diwajibkan menggantikan bas dalam tempoh lima hingga 10 tahun bagi memastikan standard keselamatan terbaik.

Beliau menambah bahawa kerajaan memahami tekanan kos yang dihadapi pengusaha dan sedang meneliti bentuk bantuan seperti pelepasan cukai, jaminan bank serta kemudahan pembiayaan untuk pembelian bas baharu.

“Perkara ini di peringkat akhir perbincangan bersama Kementerian Kewangan dan akan diumumkan selepas dimuktamadkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan memandang serius isu pelanggaran kontrak serta ketidakpatuhan pakej pelancongan yang boleh menjejaskan reputasi negara.

Sehubungan itu, pengusaha mungkin diwajibkan menyediakan jaminan bank, manakala pihak yang melanggar peraturan boleh ditarik balik lesen dan disenaraihitamkan.

Must Watch Video