Skip to main content

Malaysia

Keselamatan perlu diutamakan sebelum guna teknologi baharu - Gobind

KUALA LUMPUR, 8 Ogos -- Menteri Digital Gobind Singh Deo pada sidang media selepas menghadiri Program Jelajah AI MyMahir (JAM) TalentCorp di SJK (C) Puay Chai 2, Bandar Utama hari ini.  Program anjuran TalentCorp, agensi strategik di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), mencerminkan kerjasama erat Kementerian Digital, KESUMA dan TalentCorp dalam memperkukuh agenda pembangunan bakat AI negara.  Kepentingan MyMahir-NAICI turut diperkukuh menerusi pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam
Menteri Digital Gobind Singh Deo pada sidang media selepas menghadiri Program Jelajah AI MyMahir (JAM) TalentCorp di SJK (C) Puay Chai 2, Bandar Utama hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

PETALING JAYA: Penilaian keselamatan perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum teknologi baharu diterima pakai bagi mencegah kegagalan operasi serta memastikan kepercayaan pengguna terpelihara, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata meskipun kepesatan kemajuan teknologi daripada robotik sehingga model bahasa besar (LLM) menawarkan peluang yang besar, namun pengguna dan pembuat dasar perlu memahami risiko sedia ada, proses pengesahan serta mekanisme kawalan yang diperlukan sebelum teknologi itu dilaksanakan sepenuhnya.

Bercakap pada program Jelajah AI MyMahir di sini hari ini, Gobind berkata gangguan teknikal melibatkan sebuah robot autonomi pada pelancaran acara kecerdasan buatan (AI) sebelum ini, memberikan pengajaran penting mengenai tahap kesediaan teknologi dan kawalan keselamatan.

"Sebenarnya kita harus pastikan bahawa ia (AI) selamat sebelum kita gunakan ... sebelum memperkenalkannya dan meminta orang ramai menggunakannya secara meluas.

"Perlu ada kawalan perlindungan berlapis bagi memastikan jika berlaku sesuatu yang tidak diingini, kita masih berupaya untuk mengawalnya," katanya.

Gobind berkata dalam bidang robotik dan penggunaan sistem autonomi, infrastruktur digital yang kukuh serta kawalan perlindungan berlapis amat penting sekiranya berlaku sebarang gangguan.

Mengenai peningkatan penggunaan AI, termasuk ChatGPT dan Gemini, beliau mengingatkan pengguna supaya mengesahkan kesahihan dan ketepatan maklumat sebelum membuat sebarang keputusan penting.

Mengenai pembangunan tenaga kerja dan kesiapsiagaan negara, beliau berkata Malaysia perlu proaktif meningkatkan kemahiran modal insan bagi memenuhi keperluan teknologi baharu, dan bukannya menunggu sehingga berlaku gangguan.

"Jadi, kita perlu menjangkakan kesan teknologi terhadap pekerjaan,misalnya kita perlu mengambil langkah dari sekarang bagi memastikan tenaga kerja bersedia menghadapinya apabila tiba masanya.

“Kita tidak boleh berada dalam keadaan apabila teknologi sudah sedia untuk digunakan, sedangkan kita tidak mempunyai tenaga mahir atau pemahaman yang mencukupi untuk memanfaatkannya bagi mendapatkan kelebihan yang ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata dengan kepesatan perkembangan teknologi global, Malaysia tidak boleh kekal statik memandangkan pesaing dan negara jiran terus mengintegrasikan peralatan digital dalam pelbagai sektor termasuk perubatan, pertanian, pengangkutan dan keselamatan.

"Kita sebenarnya tiada pilihan. Kita perlu memahami apa yang berlaku di sekeliling kita. Dalam perniagaan, pesaing kita akan menggunakan teknologi. Jika tidak kita akan jauh ketinggalan,” katanya.

Beliau memuji inisiatif Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) serta kerjasama rentas kementerian yang bertujuan mempersiapkan tenaga kerja negara menghadapi perubahan keperluan ekonomi pada masa hadapan. 

Edisi ke-16 dan  jelajah AI MyMahir yang terbesar itu disertai lebih 400 peserta, mencerminkan peningkatan permintaan orang ramai terhadap kemahiran AI, serta mengukuhkan komitmen kerajaan untuk memastikan setiap rakyat bersedia menghadapi perubahan dalam dunia pekerjaan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement