Kesemua 12 pusat pemindahan banjir di Kota Marudu dan Pitas, masing-masing 131 kilometer (km) dan 180km dari sini, sudah ditutup 8 pagi tadi dengan kesemua 2,957 mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah mereka.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah Kol Mulliadi Al-Hamdi Ladin berkata 11 pusat pemindahan banjir di Kota Marudu ditutup secara berperingkat sejak petang semalam manakala satu-satunya pusat pemindahan banjir di Pitas iaitu Dewan Sekolah Kebangsaan Pitas ditutup 8 pagi ini.

Mulliadi Al-Hamdi yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata 12 pusat pemindahan banjir di Kota Marudu dan Pitas dibuka pada 18 Jan lalu dan menempatkan 2,957 bangsa banjir daripada 936 keluarga.

Sebelas pusat pemindahan banjir di Kota Marudu menempatkan 2,880 orang daripada 910 keluarga manakala pusat pemindahan banjir di Pitas menempatkan 77 orang mangsa daripada 26 keluarga.

-- BERNAMA