Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini memaklumkan bahawa kesemua dana dalam Tabung Harapan Malaysia (THM) akan digunakan bagi melangsaikan sebahagian hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tahun ini.

Menurut beliau, keputusan itu telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Akaun Amanah THM yang diadakan pada 24 April lepas.

"Mesyuarat Jawatankuasa Akaun Amanah THM Bil.1/2019 pada 24 April 2019 telah bersetuju memutuskan bahawa kesemua dana dalam THM ini akan digunakan bagi melunaskan sebahagian hutang 1MDB yang berjumlah RM1,704.78 juta bagi tahun 2019 ini.

"Meskipun dana THM ini tidak mungkin boleh melangsaikan semua hutang 1MDB sebanyak RM51 Bilion, Tabung Harapan akan kekal menjadi simbol semangat taat setia dan patriotisme rakyat Malaysia untuk melangsaikan hutang negara," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Tambah Guan Eng, baki akhir THM sehingga 14 Januari 2019 iaitu tarikh akhir penerimaan sumbangan ke dalam tabung berkenaan adalah sebanyak RM202,716,775.10, manakala jumlah terkini THM pula berjumlah RM203,292,117.41.

Selanjutnya, kata beliau, pelaburan simpanan tetap yang ditadbir oleh Jabatan Akauntan Negara telah dilaksanakan dan faedah pelaburan yang diterima sehingga 31 Mac 2019 adalah sebanyak RM575,342.31.

"Kerajaan dengan ini ingin sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat seluruh rakyat Malaysia yang telah memberikan sumbangan ke dalam THM ini," katanya lagi.