Skip to main content

Malaysia

Ketakutan dan stigma perangkap mangsa keganasan rumah tangga

Ketakutan terhadap pelaku dan stigma masyarakat menjadi antara faktor utama yang menghalang mangsa keganasan rumah tangga mendapatkan perlindungan. - Gambar hiasan
Ketakutan terhadap pelaku dan stigma masyarakat menjadi antara faktor utama yang menghalang mangsa keganasan rumah tangga mendapatkan perlindungan. - Gambar hiasan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Mangsa keganasan rumah tangga berdepan pelbagai halangan untuk mendapatkan perlindungan, termasuk ketakutan terhadap tindakan balas pelaku, harapan pasangan akan berubah serta sikap masyarakat yang enggan mencampuri urusan rumah tangga orang lain.

Keadaan itu menyebabkan sebahagian mangsa terus terperangkap dalam kitaran penderaan, meskipun berdepan kecederaan fizikal dan tekanan emosi.

Menurut Ketua Unit APEL di Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS),Prof Madya Dr. Shazleen Mohamed berkata ketakutan terhadap keselamatan diri dan anak-anak antara faktor utama yang menghalang mangsa daripada bersuara atau meninggalkan hubungan yang mendera.

"Ini kerana mangsa bimbang tindakan mereka mendapatkan bantuan atau melarikan diri akan menyebabkan pelaku bertindak lebih agresif, sekali gus meningkatkan risiko keselamatan diri serta ahli keluarga.

"Selain itu, sesetengah mangsa masih mempunyai perasaan sayang terhadap pasangan dan berharap pelaku akan berubah, terutama apabila pelaku kembali menunjukkan sikap baik selepas melakukan penderaan," katanya. 

Tambahannya, dalam keadaan itu, janji manis dan layanan romantik yang diberikan selepas episod keganasan boleh mendorong mangsa memberikan peluang berulang kali kepada pasangan mereka.

Faktor berkenaan menjadikan usaha mangsa untuk keluar daripada hubungan yang mendera lebih rumit, khususnya apabila mereka masih mempunyai ikatan emosi dan tanggungjawab terhadap keluarga.

Sehubungan itu, sikap masyarakat yang menganggap keganasan rumah tangga sebagai urusan peribadi turut menyukarkan mangsa mendapatkan bantuan.

"Jiran, ahli keluarga atau rakan yang menyedari tanda-tanda penderaan, termasuk kesan lebam atau pertengkaran berulang, mungkin memilih untuk tidak campur tangan kerana menganggap perkara itu sebagai masalah dalaman keluarga.

"Sikap sedemikian boleh menyebabkan mangsa terus terasing tanpa sokongan, sedangkan mereka mungkin sukar mendapatkan bantuan atau keluar daripada situasi berbahaya secara bersendirian," ujarnya lagi. 

Pada 26 Oktober lalu, media melaporkan, seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas pertuduhan membunuh isterinya yang juga pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Kompleks Perumahan Penjawat Awam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 15 Oktober lepas.

 

Must Watch Video

Advertisement