KUANTAN: Ketua Hakim Negara, Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh mendahului senarai 52 penerima darjah kebesaran dan pingat Pahang bersempena dengan Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sultan Pahang berkenan berangkat menyempurnakan istiadat yang berlangsung di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz di sini hari ini.
Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan paduka anakanda Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Hadir sama Menteri Besar Pahang ,Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.
Wan Ahmad Farid dikurniakan darjah Sri Setia Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (SAAS) yang membawa gelaran Datuk Seri Setia.
Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada 16 individu, antaranya Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Dr Ramli Mohd Nor.
Turut menerima SSAP Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.
Penerima lain SSAP Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman; Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Datuk Amran Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali dan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar.
Baginda turut mengurniakan SSAP kepada Canselor Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Datuk Mohamed Nizam Abdul Razak; Panglima Angkatan Bersama Leftenan Jeneral, Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Nur Hafis Abdul Karim.
Turut menerima darjah sama Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Tarminzi Mustapha dan penyanyi Datuk Shaheila Abdul Majid atau lebih dikenali sebagai Sheila Majid.
Sultan Pahang turut berkenan mengurniakan darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk Indera kepada dua penerima, iaitu Pengerusi Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma), Datuk Zamri Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Abu Bakar Yusof.
Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang turut membawa gelaran Datuk dikurniakan kepada lapan penerima antaranya Ketua Hakim Syarie Pahang, Datuk Abdul Walid Abu Hassan; Panglima Wilayah Laut 1, Laksamana Muda Azman Rabani dan Pengarah Urusan Syarikat Faiza Sdn Bhd, Faiza Bawumi Sayed Ahmad.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal pula adalah antara 18 penerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.
Turut menerima DIMP ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Nordin Pauzi; Pengarah Pendidikan Pahang, Ahmad Zamri Md Isa dan Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad Pahang, Affendi Abdul Rahman.
Selain itu, Pengarah MFDM Holdings Sdn Bhd yang juga atlet ekuestrian, Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil dan atlet silat negara, Mohd Al-Jufferi Jamari turut dikurniakan DIMP.
Pada istiadat itu, baginda turut berkenan mengurniakan darjah Setia Ahmad Shah Pahang (SAP) kepada dua penerima, Setia Mahkota Pahang (SMP) kepada seorang penerima, manakala Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) dan Ahli Mahkota Pahang (AMP) masing-masing kepada dua penerima.
-- BERNAMA