Ketua Pegawai Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Baling bersama isterinya maut dalam kejadian kemalangan jalan raya di Kampung Teluk Teduri Jalan Kupang, di sini awal pagi tadi, manakala empat anak mereka cedera parah setelah kenderaan yang dinaiki mereka dirempuh dari bahagian belakang dan hadapan.

Mangsa yang meninggal adalah Asistan Superintenden Mohd Noor Mat Yaub, 38, dan isterinya Suriya Abdul Rahman, 37, yang juga seorang guru di Sekolah Kebangsaan Teluk Teduri.

Empat anak mereka ialah Irdina Aliah, 11, Insyirah Aliah, 10, Muhamad Adib Mustakim 8 dan Imanina Aliah, 6 tahun.

Dalam kejadian jam 7.15 pagi itu, mangsa bersama isteri sedang dalam perjalanan untuk menghantar empat anak mereka ke sekolah.

Kereta itu dipandu mangsa yang datang dari arah Baling menghala ke Kupang, dan sebaik tiba di Kampung Teluk Teduri, kenderaan mangsa berhenti untuk membelok ke kanan untuk memasuki sekolah.

Tiba-tiba sebuah kenderaan datang dari arah belakang melanggar kenderaan mangsa sehingga kereta mangsa memasuki laluan bertentangan.

Sejurus kemudian, sebuah lagi kenderaan datang dari arah hadapan telah melanggar kereta mangsa lalu mengakibatkan mangsa suami isteri tersepit di bahagian tempat duduk hadapan.

Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian manakala empat anak mereka yang berada di bahagian belakang mengalami cedera dan seorang daripadanya dilaporkan kritikal.

Jasad Mohd Noor dan Suriya dihantar ke Hospital Baling untuk bedah siasat, sementara empat anak mereka yang cedera di hantar ke hospital yang sama untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling Supritendan Shariffuddin Yusof mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.