Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan dakwaan pihak berkuasa Thailand bahawa Pulau Pinang adalah hab pengedaran dadah.

Tegasnya, dakwaan itu adalah tidak tepat berikutan dadah berkenaan dibawa masuk dari Thailand yang merupakan salah sebuah negara segi tiga emas atau pengeluar dadah terbesar dunia.

"Dalam isu dadah ini kita tidak boleh kata sebagai hab atau pusat. Golden Triangle adalah pengeluar dadah terbesar di dunia. Thailand adalah sebahagian dari Golden Triangle," katanya dalam sidang media selepas majlis pemakaian pangkat kepada sebelas pegawai polis dan serah/terima tugas jawatan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman kepada Datuk Abdul Ghafar Rajab di Bukit Aman di sini hari ini.

Tegasnya, Pulau Pinang tidak sepatutnya dilabelkan dengan dakwaan berkenaan atas sebab kes-kes dadah tertentu.

"Just because dadah datang ke Pulau Pinang, atau dua tiga orang terlibat kes dadah, tidak bermakna itu jadi sebab hab," jelasnya.

Bagaimanapun katanya, PDRM akan terus melakukan pemantau dan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti pengedaran berkenaan.

"Namun kita akan pantau sebab kebanyakan banyak kejayaan tangkapan dan rampasan telah dilakukan di Thailand.

"Dalam dadah ini kita tidak boleh kata hab atau pusat. Segitiga emas adalah pengeluar dadah terbesar di dunia. Thai adalah sebahagian darinya," katanya lagi.

Pemangku Pemerintah Bahagian Pencegahan Narkotik Kawasan 4 Thailand (Selatan), Mej. Jen. Dussadee Choosankij sebelum ini berpendapat Pulau Pinang menjadi hab pengedaran dadah yang dibawa dari Thailand kerana ia mempunyai pelabuhan dan terdapat sindiket di Malaysia ada kaitan dengan sindiket di negara lain.

Pada masa sama, Pulau Pinang didakwa dijadikan tempat persinggahan bagi dadah yang diseludup sindiket antarabangsa dari Segi tiga emas berhampiran sempadan Thailand, Myanmar dan Laos.