LABUAN: Sebelas anggota sindiket dadah terbesar di Sabah, termasuk ketuanya yang dikatakan seorang bergelar Datuk dijangka dihadapkan ke mahkamah di Kota Kinabalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Zainudin Ahmad berkata Ketua Unit Jenayah Berat (KUJB) Jabatan Peguam Negara telah memberikan lampu hijau untuk mendakwa kesebelas individu terlibat.

Beliau berkata siasatan terhadap sindiket yang telah lama beroperasi dan berkembang daripada aktiviti berkaitan kontraban kepada rangkaian dadah terbesar di Filipina dan Indonesia, telah selesai.,

"Kami mempunyai cukup maklumat untuk membawa kes ini ke mahkamah dan kebenaran untuk mendakwa telah dikeluarkan," katanya ketika sidang media selepas Bengkel Pemerkasaan Komuniti untuk Mencegah Penyalahgunaan Dadah dan Pelencongan Sosial," di sini hari ini.

Zainudin berkata semua aset milik anggota sindiket yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan kegiatan dadah telah dirampas.

Semenatra itu Zainudin berkata daerah-daerah tertentu di Sabah seperti Tawau dan Semporna dikenal pasti sebagai kawasan panas aktiviti dadah kerana kedudukannya yang hampir dengan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) sementara di Labuan keadaan masih terkawal.

Beliau berkata kalau dahulu dindiket dadah di Sabah mendapatkan bekalan dari Filipina tetapi kerana penguatkuasaan yang meningkat di Filipina, keadaan berubah dan bekalan dadah di negara jiran datang dari Sabah.

"Prosiding mahkamah yang akan datang ini merupakan satu pencapaian penting dalam memerangi jenayah berkaitan dadah di rantau ini dengan pihak berkuasa aktif menangani cabaran daripada sindiket sedemikian," katanya.

Media sebelum ini melaporkan lebih daripada RM7 juta aset milik satu sindiket dadah di Sabah yang didakwa diketuai seorang penaung badan bukan kerajaan (NGO) yang bergelar Datuk, telah dirampas.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata aset itu disita di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Beliau berkata sejak penahanan ketua dan anggota sindiket itu pada 25 Dis tahun lepas, polis merampas pelbagai aset antaranya 22 akaun bank dengan simpanan berjumlah RM420,000 yang telah dibekukan, 18 kenderaan mewah bernilai RM6.6 juta, barang kemas dan jam tangan bernilai kira-kira RM100,000 serta wang tunai RM35,000.

Polis percaya penaung NGO itu menjalankan kegiatan pengedaran dadah di luar Sabah lebih dari lapan tahun.

-- BERNAMA