Aidilfitri yang bakal disambut kurang dua hari membuka pintu rezeki buat pasangan suami isteri di Kampung Penarak, di sini apabila tempahan ketupat palas yang dihasilkan mereka meningkat sekali gus memberi pendapatan tambahan.

Wardina Che Halim, 37 tahun, berkata dia dibantu suaminya Zulkifli Abd Hamid, 36 tahun, bertungkus lumus menyiapkan 80 kilogram ketupat palas yang ditempah pelanggan sebagai juadah untuk dihidangkan semasa sambutan hari raya.

"Kami menjual tiga jenis ketupat palas iaitu ketupat kosong (tanpa inti), ketupat jagung dan ketupat pulut hitam. Ketupat kosong dijual pada harga rm25 sekilogram (26 biji), manakala ketupat jagung dan ketupat pulut hitam masing-masing dijual pada harga RM30 sekilogram (26 biji).

"Ada juga pelanggan yang membeli ketupat bersama rendang, ketupat kosong bersama rendang dijual pada harga RM38, manakala ketupat jagung atau pulut hitam bersama rendang dijual pada harga RM40. Selain itu kami juga jual rendang ayam seekor RM40 atau setengah ekor pada harga RM25," katanya kepada Bernama.

Menurut Wardina mereka juga menjual ketupat palas di luar musim perayaan, namun permintaan akan meningkat semasa sambutan hari raya.

"Setiap tahun sambutan memang meningkat, saya mula menjual ketupat palas di Langkawi sekitar tahun 2009 ketika itu tempahan yang diterima hanya satu kilogram namun kini tempahan sentiasa ada dan terus meningkat," katanya yang berasal dari Kampung Kubang Sepat, Alor Setar.

Sementara itu, Siti Khalijah Saad, 50 tahun, seorang daripada enam pengusaha kuih baulu di Kampung Nyior Cabang berkata dia menerima lebih 20,000 biji tempahan kuih tersebut.

"Saya jual 50 biji kuih baulu pada harga RM15. Jumlah jualan tahun ini meningkat berbanding tahun lepas, selain jualan untuk sekitar Langkawi saya juga terima tempahan dari Alor Setar," katanya yang berpengalaman membuat kuih tersebut sejak sekolah rendah.

-- BERNAMA