Skip to main content

Malaysia

Kewangan sosial Islam instrumen strategik basmi kemiskinan - Zulkifli

KUALA LUMPUR, 12 Ogos -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Multaqa Shariah Intelektual Discourse Islamic Finance (SIDR 2026) hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata bagi memperkukuh sektor itu, kerajaan akan meneroka peluang kerjasama dan inovasi bersama-sama agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi serta pihak swasta. - Foto BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kewangan sosial Islam berpotensi besar untuk diarusperdanakan sebagai instrumen strategik dalam usaha pembasmian kemiskinan dan memacu pembangunan ekonomi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata bagi memperkukuh sektor itu, kerajaan akan meneroka peluang kerjasama dan inovasi bersama-sama agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi serta pihak swasta.

Beliau berkata Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) kini ditugaskan sebagai agensi peneraju bagi meningkatkan tadbir urus serta profesionalisme organisasi berkaitan Islam, khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kerjasama antara institusi pendidikan tinggi dan sektor sukarela amat penting untuk memperkemas serta memperkukuh tatakelola NGO Islam.

“Langkah ini penting bagi memastikan sektor kewangan sosial Islam dapat diarusperdanakan sebaris dengan segmen kewangan utama lain di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan MULTAQA Sidr Kewangan Sosial Islam (MULTAQA 2026) di sini hari ini. 

Hadir sama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Universiti INCEIF Profesor Emeritus Datuk Dr Mohd Azmi Omar, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer serta Pengerusi Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP Datuk Ahmad Azam Ab Rahman.

Terdahulu dalam ucapannya, Zulkifli berkata kewangan sosial Islam perlu beroperasi sebagai the third force yang beralih daripada sekadar pemberian bantuan konsumtif kepada pemberdayaan masyarakat yang produktif.

Menyentuh perbahasan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji di Parlimen semalam, Zulkifli mengingatkan sebarang kelemahan tadbir urus dan integriti akan memberikan kesan buruk kepada institusi Islam secara keseluruhan.

Beliau berkata sekiranya aspek integriti gagal ditangani ketika usaha mengarusperdanakan kewangan sosial Islam sedang rancak dilakukan, ia dikhuatiri akan memberikan impak negatif kepada imej Islam.

Selain itu, majlis anjuran PPZ-MAIWP dan CoEISF ISRA Institute-Universiti INCEIF juga melibatkan pelancaran Laporan Kewangan Sosial Islam Malaysia 2026.

Laporan itu mengetengahkan perkembangan, cabaran serta potensi ekosistem kewangan sosial Islam sebagai rujukan utama institusi, industri dan akademik pada peringkat tempatan mahupun serantau.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement