Ringkasan AI
- Setiausaha Agung Liga Arab memberi amaran sekatan penghantaran bekalan penting ke Taiz boleh mencetuskan bencana kemanusiaan dan menggesa Houthi menarik balik sekatan.
- Hospital di Taiz berdepan kekurangan bahan api, oksigen dan ubat-ubatan, mengancam perkhidmatan penting termasuk rawatan bayi pramatang.
- OCHA melaporkan lebih 140,000 penduduk dipindahkan di Taiz sejak Ogos, dengan laluan bantuan terputus akibat pertempuran dan ketegangan ketenteraan meningkat.
ISTANBUL: Setiausaha Agung Liga Arab Nabil Fahmy pada Khamis memberi amaran bahawa halangan berterusan terhadap penghantaran bekalan penting ke wilayah Taiz di barat daya Yaman boleh mencetuskan bencana kemanusiaan, sambil menggesa kumpulan Houthi segera menarik balik sekatan terhadap penghantaran bantuan, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam kenyataan yang disiarkan di laman web Liga Arab, Fahmy menyuarakan “kebimbangan terhadap kemerosotan keadaan kesihatan” di Taiz, sambil berkata hospital berdepan “kekurangan serius bahan api, oksigen, ubat-ubatan dan bekalan perubatan”.
Beliau memberi amaran bahawa kekurangan itu boleh menyebabkan perkhidmatan penting terpaksa dihentikan, termasuk operasi inkubator bagi bayi pramatang dan bayi baru lahir.
Fahmy berkata halangan berterusan terhadap penghantaran bekalan itu “secara langsung mengancam nyawa kanak-kanak dan pesakit”, sambil menegaskan bahawa tindakan menyekat akses orang awam kepada rawatan perubatan dan bantuan kemanusiaan tidak boleh diterima.
“Usaha menyelamatkan nyawa tidak boleh ditangguhkan atau tertakluk kepada sebarang pertimbangan politik atau ketenteraan,” katanya sambil menyatakan bahawa kumpulan Houthi bertanggungjawab terhadap kesan kemanusiaan akibat sekatan berkenaan.
Fahmy turut menggesa supaya laluan selamat disediakan untuk pesakit dan petugas perubatan, siasatan dijalankan terhadap pelanggaran yang berlaku serta tindakan diambil terhadap “mana-mana pihak yang didapati bertanggungjawab menghalang bantuan kemanusiaan atau mengancam orang awam”.
Beliau juga menggesa pertubuhan kemanusiaan dan pihak berkaitan bertindak segera bagi memastikan keperluan hospital terhadap bahan api, oksigen dan ubat-ubatan dipenuhi serta penghantarannya dapat dilakukan dengan selamat, berterusan dan tanpa halangan.
Pada Rabu, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) memberi amaran mengenai keadaan kemanusiaan yang semakin meruncing di bandar Taiz susulan gangguan laluan penghantaran bekalan penting dan tekanan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan asas.
Menurut OCHA, jalan menuju ke bandar itu dari kawasan yang dikawal kerajaan Yaman yang diiktiraf di peringkat antarabangsa masih terputus atau ditutup akibat pertempuran, sekali gus menghalang penghantaran bantuan untuk menyelamatkan nyawa serta barangan komersial.
Pejabat PBB itu memaklumkan bahawa wilayah berkenaan kini menempatkan kira-kira 140,000 penduduk yang dipindahkan sejak awal Ogos, merangkumi lebih 40 peratus daripada kira-kira 330,000 penduduk yang dipindahkan di seluruh Yaman dalam tempoh sama.
Peningkatan ketegangan itu merupakan sebahagian daripada lonjakan aktiviti ketenteraan yang bermula pada Julai dan dianggap paling besar sejak tempoh keadaan yang agak tenang susulan gencatan senjata yang bermula pada April 2022.
Yaman dilanda konflik sejak kumpulan Houthi menguasai ibu negara Sanaa dan beberapa wilayah lain pada September 2014, sekali gus mencetuskan perang saudara.
Pakatan diketuai Arab Saudi campur tangan pada Mac 2015 bagi menyokong kerajaan Yaman yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
-- BERNAMA-ANADOLU