Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hari ini memfailkan permohonan habeas corpus bagi mencabar penahanan beliau mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Permohonan habeas corpus itu difailkan di kaunter pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui peguamnya Fahmi Abd Moin.

Khairuddin, 53, selaku pemohon menamakan Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Supt Habibi Majinji; Ketua Polis Daerah Dang Wangi; Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keempat.

Dalam permohonan itu, Khairuddin memohon perintah mahkamah bahawa penahanannya melalui notis di bawah Seksyen 4(5) SOSMA 2012 bertarikh 24 Sept lepas yang dikeluarkan responden pertama (Habibi) dan dilaksanakan di bawah seliaan responden kedua (Ketua Polis Daerah Dang Wangi) di Ibu Pejabat Polis Daerah, Dang Wangi, Kuala Lumpur adalah tidak sah dan terbatal.

Beliau juga memohon satu writ habeas corpus dikeluarkan mahkamah supaya dibebaskan serta-merta daripada tahanan, selain turut memohon relif-relif lain yang dianggap adil dan sesuai oleh mahkamah.

Khairuddin mengemukakan permohonan itu atas alasan penahanannya tidak mematuhi peruntukan undang-undang SOSMA 2012, berniat jahat dan berbentuk mala fide serta difikirkan kemudian oleh responden.

Suami kepada pelakon Umie Aida itu mendakwa penahanannya merupakan penyalahgunaan proses undang-undang dalam menggunakan SOSMA 2012 secara salah sedangkan tindak-tanduknya tidak langsung berunsur aktiviti pengganas.

Mengikut SOSMA 2012, Khairuddin boleh ditahan tanpa bicara sehingga 28 hari.

Pada 23 Sept lepas, Khairuddin ditahan semula mengikut SOSMA 2012 di Kompleks Mahkamah Jalan Duta selepas tempoh tahanan reman bagi kes Seksyen 124C Kanun Keseksaan tamat.

Khairuddin sebelum ini ditahan reman sejak 19 Sept mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan atas cubaan melakukan aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen.

Media tempatan melaporkan Khairuddin didakwa sedang merancang untuk meminta Amerika Syarikat campur tangan dalam hal ehwal Malaysia.

Pengkritik 1Malaysia Development Berhad itu ditahan Unit Siasatan Jenayah Terkelas dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di kediamannya di Mont Kiara di sini pada 18 Sept.