KUALA LUMPUR: Malaysia memperkukuh diplomasi pertahanan serantau menerusi siri lawatan kerja rasmi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke Vietnam dan Kemboja dari 5 hingga 7 Ogos.
Kementerian Pertahanan dalam kenyataan memaklumkan, lawatan itu memberi tumpuan kepada latihan ketenteraan, keselamatan maritim, pembangunan industri pertahanan dan pengukuhan kerangka keselamatan ASEAN.
Di Hanoi, Khaled Nordin mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan selama dua hari ke Vietnam yang dimulakan dengan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri republik itu, Le Minh Hung pada 5 Ogos.
Perbincangan tertumpu kepada hala tuju kerjasama teknikal susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan pada 4 November 2023.
Antara bidang yang diberi perhatian ialah penyelarasan kursus, latihan pegawai tentera serta pengukuhan kerjasama keselamatan maritim antara kedua-dua negara.
Khaled Nordin turut mengadakan mesyuarat dua hala bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Vietnam, Jeneral Phan Van Giang bagi bertukar pandangan mengenai dinamik keselamatan global dan serantau.
Kedua-dua pihak bersetuju meneroka ruang baharu dalam pembangunan kapasiti pegawai tentera menerusi pertukaran latihan yang lebih aktif dan konsisten.
Vietnam turut menyokong pendirian Malaysia mengenai kepentingan kerjasama maritim bagi memastikan Asia Tenggara kekal aman, saling menghormati dan mematuhi undang-undang antarabangsa.
Siri lawatan itu kemudiannya diteruskan ke Phnom Penh pada 7 Ogos dengan Khaled Nordin mengadakan kunjungan hormat terhadap Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha.
Pertemuan berkenaan memberi tumpuan kepada status rundingan draf MoU Kerjasama Pertahanan yang dijangka membuka ruang kepada kerjasama dua hala lebih dinamik.
Ia termasuk memperluas penyertaan pegawai tentera Kemboja dalam Malaysian Defence Cooperation Programme (MDCP), iaitu Program Kerjasama Pertahanan Malaysia yang dilaksanakan secara konsisten setiap tahun.
Mohamed Khaled turut mengadakan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Nasional Kemboja, Hun Manet bagi membincangkan usaha mempercepat penyelarasan strategik dalam latihan ketenteraan dan pembangunan industri pertahanan.
Dalam kedua-dua lawatan, Malaysia, Vietnam dan Kemboja sepakat mengenai kepentingan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) serta Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM-Plus) sebagai wadah utama mengekalkan keamanan serantau.
Kerjasama itu berteraskan prinsip Kepusatan ASEAN bagi memastikan kerangka keselamatan pelbagai hala kekal relevan dalam menghadapi perubahan landskap keselamatan semasa.
Di Kemboja, perbincangan turut memberi penekanan kepada mekanisme ASEAN Observer Team (AOT) atau Pasukan Pemerhati ASEAN sebagai usaha memperkukuh kesiapsiagaan negara anggota untuk saling membantu ketika mendepani cabaran keselamatan.
Kedua-dua pihak turut membincangkan pembangunan daya tahan kendiri melalui pelaksanaan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN).
Pameran industri pertahanan tahunan dikenal pasti sebagai antara platform strategik untuk menarik pelaburan asing, memperluas kerjasama industri dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar.
Siri lawatan berkenaan selaras dengan Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 serta tonggak Perkongsian Berwibawa yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.
Turut menyertai delegasi Malaysia ialah Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Datuk Mohd Yani Daud.