Tiada sebarang pelawaan dibuat kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menyertai UMNO dan sebarang spekulasi mengenainya adalah tidak berasas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib juga menafikan adanya pertemuan empat mata antara beliau dengan Abdul Khalis selepad Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat Selangor pada Khamis.

"Dia kata dia hadir dan hormati saya sebagai ketua kerajaan di peringkat Pusat. Saya pula hormati dia selaku ketua kerajaan negeri. Tiada apa, saya tak pelawa dia masuk UMNO pun.

"Tiada perjumpaan empat mata. Ribuan orang ada di situ. Pertemuan ribuan mata yang ada," katanya dalam nada jenaka dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MT UMNO di PWTC pada Jumaat.

Desas-desus mengenai kemungkinan Abdul Khalid bakal menyertai UMNO tersebar selepas beliau dilihat mesra dengan Perdana Menteri pada majlis berbuka puasa itu.

Abdul Khalid yang hampir pasti tewas dalam pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR dikatakan karier politiknya sedang 'dimatikan' oleh partinya sendiri.

Sementara itu, dalam sidang media sama, Najib yang juga Presiden UMNO memberitahu tempoh persidangan perwakilan bahagian yang sepatutnya berakhir 14 September ini akan dilanjutkan sehingga 30 September berikutan tarikh Perhimpunan Agung UMNO telah ditetapkan pada 25 hingga 29 November.