Skip to main content

Malaysia

Khazanah biodiversiti Pulau Pinang perlu dipelihara untuk generasi akan datang – Syed Ibrahim

Taman Negara Pulau Pinang -- FB Syed Ibrahim Syed Noh
Syed Ibrahim selepas meninjau pengurusan kawasan, keunikan ekosistem dan usaha pemuliharaan yang dilaksanakan di kawasan Taman Negara Pulau Pinang. - Gambar Facebook Syed Ibrahim Syed Noh
Advertisement

GEORGE TOWN: Keunikan ekosistem Taman Negara Pulau Pinang di Teluk Bahang dekat sini, yang merangkumi hutan, pesisir pantai, habitat hidupan liar dan Tasik Meromiktik perlu terus dipelihara menerusi pendekatan pemuliharaan yang turut mendekatkan masyarakat dengan alam semula jadi.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Syed Ibrahim Syed Noh berkata usaha pemuliharaan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada perlindungan kawasan sebaliknya perlu melibatkan masyarakat sebagai sebahagian daripada usaha menjaga kelestarian khazanah biodiversiti negara.

“Khazanah alam yang kita pelihara hari ini bukan sekadar untuk dinikmati, tetapi merupakan warisan yang perlu diserahkan dalam keadaan sebaiknya kepada generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu sempena lawatan turun padang beliau ke Taman Negara Pulau Pinang semalam bagi meninjau pengurusan kawasan, keunikan ekosistem dan usaha pemuliharaan yang dilaksanakan di kawasan berkenaan.

Lawatan itu dimulakan dengan taklimat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pulau Pinang mengenai Taman Negara Pulau Pinang serta keseluruhan ekosistemnya sebelum Syed Ibrahim menyusuri kawasan pesisir dengan menaiki bot.

Di Pantai Kerachut, Syed Ibrahim turut melawat Pusat Konservasi Penyu di bawah pengurusan Jabatan Perikanan bagi melihat usaha pemuliharaan spesies penyu, khususnya Penyu Agar dan Penyu Lipas, selain perlindungan habitat semula jadinya.

Beliau kemudian meninjau Tasik Meromiktik, antara keunikan ekologi Taman Negara Pulau Pinang yang memperlihatkan kepelbagaian ekosistem dalam satu kawasan serta hubungan saling berkait antara habitat dalam mengekalkan keseimbangan alam.

Lawatan diteruskan ke Entopia Penang bagi melihat pendekatan pendidikan konservasi yang membolehkan masyarakat mengenali biodiversiti menerusi pengalaman secara langsung dan interaktif.

Sementara itu, Syed Ibrahim berkata pendekatan pendidikan seumpama itu penting dalam membentuk kefahaman dan rasa menghargai alam dalam kalangan masyarakat khususnya generasi akan datang.

Beliau berkata ekopelancongan yang diurus secara bertanggungjawab juga berpotensi menjadi jambatan antara usaha pemuliharaan dan masyarakat dengan memberi peluang kepada orang ramai mengenali serta menghargai biodiversiti tanpa menjejaskan kelestarian ekosistem.

"Bagi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, pemuliharaan yang berkesan perlu berpijak pada realiti di lapangan dan melibatkan masyarakat sebagai sebahagian daripada penyelesaiannya.

"Khazanah alam yang kita pelihara hari ini bukan sekadar untuk dinikmati tetapi merupakan warisan perlu diserahkan dalam keadaan yang sebaiknya kepada generasi akan datang," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement