PETALING JAYA : Bayangkan dengan hanya RM1 sahaja, anda boleh menunaikan hasrat untuk ke destinasi yang ingin dituju menggunakan pengangkutan awam dalam suasana baharu yang lebih selesa. 

Dengan perkhidmatan Kumpool, keperluan perkhidmatan awam di sekitar Lembah Kelang dapat dinikmati oleh penggunna.

Perkhidmatan Kumpool mula beroperasi di kawasan Bukit Gasing, di sini mulai Isnin.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gasing, R.Rajiv, persetujuan yang telah dicapai bersama syarikat terbabit sangat dialu-alukan.

Malah jelasnya ia bukan sahaja mampu menawarkan perkhidmatan yang lebih realistik berbanding bas awam, bahkan mampu menyelesaikan masalah ruang parkir di kawasan itu.

“Perkhidmatan seperti Kumpool mempunyai banyak tempat yang dia boleh ambik dan hantar. Dengan menggunakan aplikasi anda boleh pilih untuk pergi ke sana dan ke sini dan tidak perlu fikir isu parkir kereta. Hanya dengan modal RM1. 

“Saya harap dengan perkhidmatan ini maka  kita tak perlu hadapi masalah dengan isu parkir. Dan dalam masa yang sama kita oleh galakkan orang tinggalkan kereta di rumah.” Jelasnya kepada Astro AWANI hari ini.

Malah tambah beliau lagi, kos untuk sepuluh ribu pengguna pertama perkhidmatan itu akan ditanggung sepenuhnya oleh pejabat Adun Bukit Gasing.

Perkhidmatan tersebut jelasnya akan bermula Isnin ini bermula 8 pagi sehingga 8 malam.

Sementara itu menurut Pengurus Kumpool Goh Chun Hean, ini adalah sebahagian projek rintis syarikat terbabit bagi melihat keperluan pengguna dan keberkesanan perkhidmatan yang ditawarkan kepada mereka.

Sebelum ini katanya, perkhidmatan yang sama telah dilakukan di sekitar kawasan Subang dan juga Johor Bahru.

"Kita tetap akan tawarkan perkhidmatan yang lebih baik berbanding bas dan lebih murah berbanding perkhidmatan e-hailing yang sedia ada ketika ini.

"Jadi, bagi projek perkhidmnatan di  sekitar  Bukit Gasing ini mungkin akan mengambil masa sekitar dua hingga tiga bulan sebelum memutuskan untuk meneruskan perkhidmatan dan menetapkan harga tambang sebenar," tambahnya.