SEPANG: Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Kali ke-5 (KHUP5) yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini menjadi platform yang menghimpunkan pelbagai maklumat, perkhidmatan dan kepakaran bagi membantu bakal jemaah haji membuat persediaan ibadah secara lebih terancang, yakin dan menyeluruh.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Mustakim Mohamad berkata pada karnival kali ini, sebanyak 34 Pengelola Jemaah Haji (PJH) mengambil bahagian bagi menawarkan pakej haji khas untuk Musim Haji 1448H/2027M.
“Selain pakej haji, para pengunjung juga berpeluang mendapatkan maklumat berkaitan pakej umrah dan pelancongan Islamik.
“Ini menjadikan KHUP5 sebagai platform sehenti yang menyediakan pelbagai pilihan dan maklumat untuk membantu masyarakat membuat persediaan perjalanan ibadah serta pelancongan Islamik dengan lebih teratur,” katanya ketika berucap merasmikan KHUP5 di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Haji TH Mohd Hisham Harun dan Ketua Bahagian Agensi Haji Anuar Mohd Ahmad.
Mustakim berkata KHUP5 turut memberi penekanan kepada persediaan kewangan, antaranya melalui sesi bual bicara bertajuk “Menuju Istito’ah: Multi Tabung”, selain menyediakan akses kepada pelbagai perkhidmatan yang dapat melengkapkan persediaan bakal haji.
“Penyertaan enam institusi perbankan utama serta penyedia perkhidmatan perancangan harta dan pusaka Islam memberikan nilai tambah kepada pengunjung.
“Para pengunjung bukan sahaja boleh mendapatkan maklumat berkaitan pakej haji dan umrah, malah berpeluang meneroka pelbagai penyelesaian kewangan serta perkhidmatan patuh syariah, termasuk simpanan, pembiayaan, perbankan digital, takaful, perlindungan perjalanan dan pengurusan harta serta pusaka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihati bakal jemaah haji agar tidak mudah terperdaya dengan tawaran menunaikan haji tanpa visa yang sah atau melalui saluran yang tidak diiktiraf, selain terus memperkukuh kesedaran masyarakat menerusi kempen “Tiada Visa, Tiada Haji”.
“Oleh itu, saya menyeru semua bakal jemaah haji supaya sentiasa berwaspada, membuat semakan dan mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi TH serta PJH berlesen sebelum membuat sebarang bayaran atau keputusan berkaitan perjalanan haji,” katanya.
Beliau berkata TH hanya mengiktiraf 34 PJH yang telah diluluskan dan diberikan lesen, selain tidak pernah melantik mana-mana individu atau syarikat sebagai ejen bagi menawarkan pakej haji.
-- BERNAMA