Kia Sportage baharu akan dipersembahkan kepada umum secara rasmi hanya ketika pameran kereta Frankfurt 15 September ini, tetapi syarikat Korea ini dah pun mengeluarkan beberapa imej awal untuk mencuri perhatian kita.

Nampaknya SUV Sportage generasi keempat ini diberi perubahan fizikal yang agak ketara, terutamanya pada bahagian hadapan dan belakang. Lampu hadapan, contohnya, tidak lagi kelihatan bagaikan bersatu dengan gril hadapan. Sebaliknya ia terpisah, dengan kluster lampu itu terletak di bucu kanan dan kiri.

Ini memberi definasi baharu kepada bahagian hadapan di mana gril lebih seakan model-model Kia generasi terkini yang lain. Lampu kabut di bawah pula tidak ubah seperti yang sekarang dipasang pada Kia Optima yang dijual sekarang.

Pembaharuan di belakang pula – walaupun menyeluruh – tidak memberi impak seperti di hadapan. Jelasnya lampu adalah lepis nipis serta disambungkan secara visual menggunakan satu jalur krom. Secara visual, ini untuk menjadikan SUV ini kelihatan lebih lebar.

Profil Sportage yang kita kenal masih lagi jelas bila dipandang dari sisi. Namun, panjang ‘overhang’ hadapan telah ditambah manakala yang dibelakang dipendekkan. ‘Wheelbase’ juga sudah dipanjangkan.

Secara keseluruhannya, Kia Sportage serba baharu yang akan datang ini kelihatan lebih menawan dari sebelumnya; begitulah pendapat kami sekadar melihat gambar-gambar terhad ini.

Mengikut Kia, rekaan ini telah dilakukan di studio rekaan Kia Eropah di Frankfurt, Jerman; dengan input tambahan daripada pusat-pusat rekaan Kia di Namyang (Korea) dan Irvine, California (Amerika Syarikat).