Skip to main content

Malaysia

Kibaran bendera lambang patriotisme dan perpaduan, bukan sekadar mercu tanda - Sultan Selangor

Bendera Selangor. FB Selangor Royal Office
Sultan Sharafuddin bertitah bahawa kibaran bendera pada tiang-tiang berkenaan juga mampu menyemarakkan semangat patriotisme dan rasa bangga terhadap negeri serta negara. - Gambar/ FB Selangor Royal Office

SHAH ALAM: Kibaran Jalur Gemilang dan bendera negeri Selangor pada tiang-tiang bendera yang berdiri megah bukan sekadar elemen fizikal atau mercu tanda, sebaliknya lambang kecintaan kepada tanah air, kesetiaan kepada negeri serta simbol perpaduan yang perlu dipelihara dan dihargai oleh setiap rakyat.

Menurut hantaran di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa kibaran bendera pada tiang-tiang berkenaan juga mampu menyemarakkan semangat patriotisme dan rasa bangga terhadap negeri serta negara.

“Semasa berada di Istanbul, Turkiye, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa kagum melihat pemandangan tiang-tiang bendera yang megah berdiri di atas bukit-bukit sekitar bandar raya Istanbul yang bukan sahaja menceriakan landskap bandar raya di atas dua benua itu, malah menjadi simbol jelas semangat patriotisme rakyat Turkiye.

“Baginda berpandangan kibaran bendera pada tiang-tiang sebegini mampu menyemarakkan rasa cinta kepada negeri dan negara, seterusnya menghormati lambang-lambang kedaulatan serta memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum dan agama,” menurut hantaran itu.

Sehubungan dengan itu, baginda menzahirkan rasa dukacita apabila pembinaan Tiang Bendera Negeri Selangor di Dataran Selangor yang telah dirasmikan sebelum ini masih dipolemikkan oleh segelintir pihak tanpa melihat manfaat dan kepentingannya sebagai wadah memupuk semangat kebersamaan, perpaduan dan jati diri rakyat Selangor.

Justeru, baginda berharap contoh yang ditampilkan di Istanbul dapat menjadi inspirasi sebagai wadah untuk terus menyemai dan memperkukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat demi masa depan negara dan negeri yang lebih bersatu, harmoni dan makmur.

Pada 8 Mac lepas, Sultan Selangor berkenan menyaksikan upacara mengibarkan bendera negeri di Tiang Bendera Dataran Selangor, sebuah mercu tanda baharu yang menempatkan tiang bendera tertinggi di Asia Tenggara dengan berketinggian 120 meter. 

Ketika mengilhamkan pembinaannya, baginda menzahirkan harapan agar tiang bendera itu akan menjadi lambang perpaduan rakyat Selangor, sekali gus menyemarakkan rasa hormat kepada bendera dan semangat cintakan negeri. 

Tarikh perasmian itu dipilih bersempena Hari Keputeraan ayahanda kepada Sultan Sharafuddin Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, yang juga tokoh terpenting dalam membangunkan Shah Alam dan mengisytiharkannya sebagai ibu negeri Selangor pada 1978.

Upacara menaikkan bendera berukuran 15 meter x 30 meter seberat kira-kira 50 kilogram oleh 40 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia itu turut menyaksikan pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai Tiang Bendera Tertinggi di Asia Tenggara.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement