KLANG: Kilang-kilang yang memiliki kebenaran untuk beroperasi masih boleh dikenakan tindakan kompaun atau diarahkan tutup jika berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, antara kesalahan yang dikesan setakat ini termasuklah pekerja yang gagal melakukan imbasan menerusi aplikasi MySejahtera.

"Walaupun kilang-kilang ini dibenar beroperasi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 lalu, ini tidak bermakna mereka tidak melakukan kesalahan.

"Mereka masih perlu patuh kepada SOP walaupun dibenarkan beroperasi," katanya selepas melakukan tinjauan Op Patuh di dua buah kilang, di Klang pada Sabtu.

Turut hadir dalam operasi pemeriksaan berkenaan ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin  selain Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Jelasnya kerajaan tidak lagi akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang masih berdegil dalam mematuhi ketetapan yang telah diumumkan sebelum ini.

Tambahnya sejak 25 Jun lalu sebanyak 55,134 pemeriksaan telah dilakukan ke atas kilang-kilang di seluruh negara.

Malah pihak berkuasa telah mengeluarkan 90 kompaun, 64 arahan penutupan dan telah melakukan sebanyak 20 tangkapan pada semalam.