Ramai lagi penduduk yang ditimpa bencana ini dan terpaksa mengerah kudrat membersihkan kediaman dan kedai mereka. Keperitannya bukan alang-kepalang.
Luar biasa impaknya.
Sejak dari hari pertama negara dihurung duka akibat bencana itu, pelbagai bantuan disalurkan bukan sahaja dalam bentuk barangan, bahkan tenaga, masa dan wang ringgit.
Tanpa mengira status, latar belakang bangsa atau agama, masing-masing dari pelbagai pelusuk negara menghulurkan bantuan ke Ground Zero.

Semangat dan iltizam rakyat Malaysia menyerlahkan kekuatan masyarakat di akar umbi. 'Kita Jaga Kita' menjadi mantra yang terus menyala.
Esok, hari terakhir untuk tahun 2021. Esok juga, masuk dua minggu banjir luar jangka telah mengheret warga kita bergelut memulih serta membina semula kehidupan terutama mereka di lapan negeri yang dilanda banjir.
Sebagai penutup tirai tahun 2021, Astro AWANI di ambang tahun baharu, membawa anda melangkah ke tahun 2022 dengan semangat bangkit semula membina kehidupan lebih baik.
Bersama merasai kegigihan membina semula kehidupan, semangat itu menjadi obor untuk semua menanam azam baharu, impian baharu, matlamat dan semangat yang baharu.
Kita reset!