KUALA LUMPUR: Satu lagi kejadian membaling 'molotov cocktail' berlaku di KK Mart cawangan Kuching, Sarawak, menjadikan insiden ketiga melibatkan kedai serbaneka tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner (ACP) Ahsmon Bajah berkata, insiden berlaku pada Ahad dan polis menerima laporan daripada pekerja kedai terbabit.

"Kejadian kebakaran kotak mengandungi air minuman di kaki lima hadapan kedai serbaneka tersebut akibat dibaling menggunakan botol kaca berisi minyak tanah dan kain berwarna kuning (molotov cocktail)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ashmon berkata pihak polis sedang giat mengesan suspek.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga tujuh tahun, atau denda.

Dalam pada itu, Ahsmon turut memohon kerjasama orang ramai untuk tampil menyalurkan sebarang maklumat berhubung kejadian tersebut.

"Boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Ceremona Anak Nasim di talian 013-8554168 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

"Orang ramai juga diingatkan tidak melakukan perbuatan diluar batas undang2 dalam hal ini, dan memberikan ruang proses perundangan yang sedia ada," tambah beliau.

BACA: KK Mart dibaling 'molotov cocktail': Ambil tindakan tegas kepada pelaku - Ketua Pemuda UMNO

Pada 30 Mac lalu, Kedai serbaneka KK Mart yang baharu beroperasi dua minggu di Kuantan, Pahang diserang dengan 'molotov cocktail' pada jam 5.14 pagi.

Insiden tersebut berlaku lima hari selepas KK Mart di Jalan Bruseh, Bidor dibaling bom petrol pada 25 Mac.