SHAH ALAM: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menggariskan lima teras dan 10 komitmen utama menerusi Resolusi Belia Desa 2035 bagi memperkukuh agenda pembangunan belia desa sebagai tonggak kemajuan negara.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata resolusi itu dirangka menerusi Konvensyen Belia Desa 2026 yang menghimpunkan pemimpin belia desa, institusi pendidikan, agensi kerajaan, pihak industri dan ahli akademik.
Beliau berkata teras pertama meliputi kepimpinan, patriotisme dan kesukarelawanan belia desa, termasuk memberi ruang kepada golongan itu untuk terlibat dalam proses membuat keputusan serta menjadi wakil dalam Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN).
"Teras kedua berkaitan ekonomi, keusahawanan dan pendapatan, khususnya peluang pekerjaan untuk anak muda, manakala teras ketiga memberi tumpuan kepada pendidikan, termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kemahiran masa depan.
"Dua lagi teras ialah digitalisasi, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan inovasi serta kesejahteraan dan keterangkuman holistik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pelancaran resolusi itu dan penutupan Konvensyen Belia Desa di sini, hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KKDW Datuk Dr Roslan Mahmood.
Rubiah berkata kelima-lima teras berkenaan diterjemahkan menerusi 10 komitmen, antaranya memperkasa tadbir urus dan kepimpinan belia bagi memastikan kelestarian pembangunan desa.
"Komitmen itu turut merangkumi pemerkasaan ekonomi desa berimpak tinggi, keusahawanan bertaraf global, pendidikan dan modal insan, selain latihan, kemahiran dan kebolehpasaran.
"Ia juga meliputi usaha melahirkan belia desa celik AI, memacu kelestarian alam serta membina ekosistem masa depan," katanya.
Ketika merasmikan konvensyen itu pada Isnin, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru belia luar bandar menceburi bidang bernilai tinggi serta beralih daripada pencari kepada pencipta peluang, di samping menguasai kemahiran yang memenuhi keperluan industri bagi meningkatkan daya saing dan menghadapi perkembangan semasa.
-- BERNAMA