KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersetuju melaksanakan projek pemasangan lampu LED solar di bawah projek Lampu Jalan Kampung (LJK) bermula tahun ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata kementerian itu sedang mendapatkan maklumat keperluan serta cadangan lokasi bagi pemasangan lampu berkenaan melalui pejabat KKDW negeri dan projek berkenaan dijangka bermula pada suku keempat tahun ini.

"Kawasan yang layak dipasang lampu LED solar termasuk kawasan luar bandar dan pinggir bandar, kampung Orang Asli, kecuali kampung di bawah rancangan Felda, di luar kawasan pengoperasian PBT (pihak berkuasa tempatan), taman perumahan atau penempatan semula yang dimajukan oleh pihak swasta atau perseorangan.

"Pemasangan juga layak untuk kawasan yang tidak mempunyai bekalan elektrik atau sistem talian grid serta kawasan terpencil yang mempunyai kesukaran akses kepada jentera bagi tujuan pemasangan dan penyelenggaraan ataupun di jalan yang tiada sumber utiliti sekurang-kurangnya 100 meter," katanya pada sesi kamar khas Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada ucapan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) yang bertanyakan mengenai cadangan pemasangan lampu LED solar di jalan bawah kelolaan kementerian itu.

Rubiah berkata pemasangan lampu LED solar turut dibenarkan di sepanjang jalan utama dalam kawasan kampung dengan keutamaan diberi kepada bahagian hadapan bangunan awam seperti balai raya, rumah ibadat, kawasan tumpuan kegunaan awam dan simpang jalan.

"Pada masa ini, jumlah pemasangan yang dibenarkan adalah tidak melebihi 40 unit bagi setiap kampung dan akan dipasang pada jarak yang munasabah, dengan jumlah akhir turut mengambil kira bilangan LJK konvensional sedia ada," katanya.

-- BERNAMA