NATIONAL
KKDW peruntuk RM1.11 bilion bagi pembangunan luar bandar Sabah

Ahmad Zahid menyampaikan ucapan pada Program Sentuhan Kasih Desa MADANI Bersama Pemimpin dan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Komuniti KEMAS Parlimen Negeri Sabah di Dewan PPR Seri Keramat Putatan malam tadi. --fotoBERNAMA
PUTATAN: Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan RM1.11 bilion bagi pembangunan luar bandar di Sabah pada tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah itu berkata ia meliputi projek prasarana sosial antaranya pembinaan jalan luar bandar, bekalan elektrik dan sistem bekalan air bagi meningkatkan akses, keselesaan hidup serta kemampanan rakyat di kawasan tersebut.
Beliau berkata masih wujud jurang ketara yang perlu ditangani terutama daripada sudut infrastruktur asas, akses ekonomi, pendidikan serta digitalisasi luar bandar dan justeru itu, KKDW terus komited melaksanakan program berimpak tinggi yang menyeluruh termasuk di Sabah demi merapatkan jurang ini.
"KKDW tidak pernah ketinggalan menyantuni rakyat Sabah. Ini semua kita lakukan untuk rakyat Sabah antaranya bagi menyelesaikan masalah bekalan air yang tidak pernah berkesudahan di Sabah, ia juga akan bantu Sabah selesaikan masalah bekalan elektrik di luar bandar yang sering putus."Elektrik di bandar tiada masalah besar, jadi luar bandar mesti bekalan elektrik juga baik seperti di bandar. Begitu juga prasarana luar bandar seperti jalan-jalan perlu dinaik taraf dan diperbaiki," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Sentuhan Kasih Desa MADANI Bersama Pimpinan di sini malam tadi.
"Melalui KEMAS, saya juga telah minta untuk diberi santunan kasihnya kepada taska dan tadika KEMAS serta Pusat Komuniti Desa.
"Mana-Mana tadika atau taska KEMAS yang sangat daif terutama di Sabah dinaik taraf segera supaya dapat digunakan dengan selesa oleh anak-anak kita," katanya.
Ahmad Zahid juga berkata KKDW melalui KEMAS telah memperuntukkan sebanyak RM1.06 juta bagi program pembangunan komuniti dan keusahawanan serta RM1.27 juta lagi untuk pendidikan kemahiran yang memberi manfaat secara terus kepada penduduk Sabah.
Beliau berkata dalam memacu pertumbuhan ekonomi luar bandar, KKDW turut memperkukuh program pemerkasaan ekonomi seperti Program Mini Estet Sejahtera, Program Desa Harapan dan Usahawan Desa MADANI serta memperluas capaian Pusat Ekonomi Digital ke seluruh kawasan itu di Sabah.
Pada majlis sama, Ahmad Zahid mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi kerja-kerja penambahbaikan lif dan tambahan RM500,000 lagi bagi sistem tangki air demi keselesaan serta keselamatan penduduk setempat di Projek Perumahan Rakyat Seri Keramat di sini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami