PUTRAJAYA:Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang merangka kriteria dan pelan tindakan untuk melindungi kawasan zon hijau daripada dijangkiti virus COVID-19 dari zon merah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pelan tindakan tersebut akan merangkumi garis panduan mengenai perkara yang boleh atau tidak boleh dilakukan untuk mencegah jangkitan merebak di zon hijau pada peringkat daerah dan negeri.

"Di Sarawak misalnya, sekatan jalan raya telah digunakan bagi menghalang penduduk dari Kuching yang merupakan zon merah untuk pergi ke daerah lain," katanya pada sidang media COVID-19, di sini, hari ini.

Jika boleh, Dr Noor Hisham juga menasihatkan orang ramai agar tidak 'balik kampung' kerana kadang kala seseorang itu tidak mengetahui jika dia dijangkiti COVID-19 atau tidak.

Beliau berkata, tindakan 'tidak balik kampung' pada masa ini juga merupakan salah satu cara terbaik untuk melindungi warga tua yang merupakan kumpulan berisiko tinggi.

Golongan tua dan mereka yang mempunyai beberapa masalah kesihatan seperti darah tinggi dan kencing manis juga tidak mempunyai antibodi yang kuat seperti golongan muda, katanya.

Beliau berkata salah satu langkah yang boleh digunakan untuk melindungi zon hijau adalah melaksanakan ujian saringan termasuk menggunakan ujian antigen Rapid Test Kit (RTK).

Ditanya mengenai kebimbangan dalam kalangan penduduk sekitar kilang Top Glove di Klang, Selangor berikutan peningkatan mendadak kes positif dalam kalangan pekerja kilang itu, Dr Noor Hisham memberi jaminan bahawa pihaknya kini menjalankan pengesanan aktif kontak rapat.

"Ini bagi mengenal pasti sekiranya terdapat kes baharu dalam kalangan bukan pekerja kilang sarung tangan itu. Kilang juga telah diarahkan tutup secara berperingkat dan kita (KKM) akan jalankan saringan ke atas 13,000 pekerja Top Glove. Kita harap dapat kawal penularan jangkitan," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa keadaan masih terkawal di kilang tersebut ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 17 Nov lalu di lokaliti tersebut.

"Semua kes positif dimasukkan ke hospital dan kontak rapat mereka telah dikuarantin bagi mengelak jangkitan kepada pekerja lain," kata Dr Noor Hisham.

Ditanya mengenai langkah pencegahan COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir, beliau berkata KKM telah membangunkan Panduan Pencegahan dan Pengurusan COVID-19 di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir bagi mengelakkan berlakunya jangkitan wabak.

Katanya, saringan COVID-19 dilakukan sekiranya terdapat kes positif atau yang melibatkan kontak rapat.

"KKM ingin ingatkan semua mangsa kena patuh Prosedur Operasi Standard (SOP) walaupun dalam keadaan banjir. Antara tindakan KKM bagi mengelak jangkitan COVID-19 di PPS, antaranya penggunaan penghadang yang diletakkan dalam jarak dua meter, ada tempat mencuci tangan, pemakaian pelitup muka serta kena jaga kebersihan semasa banjir.

"Saringan akan dijalankan kalau ada indikasi ataupun ada gejala tetapi bukan keseluruhan. KKM akan menjalankan saringan sekiranya ada kes seperti kontak rapat atau kes positif," katanya.

- BERNAMA