PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) telah membatalkan notifikasi produk kosmetik BL Ledehh Day Cream 2, BL Ledehh Night Cream dan For U Night Cream kerana dikesan mengandungi racun berjadual serta tidak lagi membenarkan ia dijual di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata BL Ledehh Day Cream 2 dan BL Ledehh Night Cream dikesan mengandungi merkuri manakala For U Night Cream mengandungi hidrokuinon, tretinoin dan betamethasone 17-valerate.

Beliau berkata merkuri dilarang dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan sehingga menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf serta mengganggu perkembangan otak kanak-kanak atau janin selain menyebabkan ruam dan iritasi pada kulit.

"Produk yang mengandungi hidrokuinon, tretinoin dan betamethasone 17-valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Katanya hidrokuinon boleh menyebabkan kemerahan pada kulit, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar ultra ungu (UV) berbahaya dan meningkatkan risiko kanser kulit.

Beliau berkata penggunaan tretinoin tanpa pengawasan pula boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Katanya betamethasone 17-valerate boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.

Dr Muhammad Radzi berkata penjual dan pengedar perlu menghentikan penjualan serta pengedaran produk itu serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu berdepan hukuman maksimum denda RM25,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda RM50,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Beliau berkata syarikat yang melakukan kesalahan berdepan hukuman denda maksimum RM50,000 untuk kesalahan pertama dan RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

"Orang awam yang sedang menggunakan produk berkenaan dinasihatkan agar segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers," katanya.


-- BERNAMA