Ringkasan AI
- Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan belum menerima notis rasmi mengenai peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar.
- Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim, memaklumkan pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.
- Beliau juga tidak menerima arahan daripada pihak istana atau maklumat rasmi mengenai hasil pertemuan Ismail dengan Tuanku Muhriz.
SEREMBAN: Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan belum menerima sebarang pemakluman atau notis rasmi berhubung peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar negeri itu.
Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim berkata pihaknya juga tidak mempunyai sebarang maklumat rasmi mengenai perkembangan terkini kedudukan Ismail susulan isu peletakan jawatan yang menjadi perhatian sejak Isnin lalu.
Malah, beliau menjelaskan hanya mengetahui mengenai perkara itu menerusi laporan dan perkongsian di media sosial pada malam 16 November lalu.
“Setakat ini saya tidak ada apa-apa pemakluman tentang (kedudukan) Menteri Besar, tak dimaklumkan apa-apa perkembangan.
“Tidak ada (terima surat), saya pun tahu pada malam 16 November lalu melalui (kenyataan) media sosial,” katanya kepada media.
Beliau ditemui selepas Majlis Pelancaran Modul Aulad Sejahtera 2026 di sebuah hotel, di sini, pada Rabu.
Turut berangkat pada majlis itu ialah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bersama Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
Mengulas lanjut, Mohd Zafir berkata kemelut berhubung kedudukan Menteri Besar tidak menjejaskan urusan pentadbiran kerajaan negeri yang terus beroperasi seperti biasa.
Menurutnya, semua jabatan dan agensi kerajaan negeri masih menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak terganggu.
“Perjalanan untuk pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri berjalan macam biasa. Begitu juga di jabatan-jabatan lain, tidak ada masalah dalam melaksanakan tugas-tugas seharian.
“Memastikan sistem penyampaian perkhidmatan tidak tergendala,” jelasnya.
Beliau turut mengesahkan operasi Pejabat Menteri Besar masih berjalan seperti biasa, namun tidak dapat memastikan sama ada Ismail sendiri masih menjalankan tugas seperti kelaziman.
“Perjalanan pejabat Menteri Besar tu (setakat ini) berjalan seperti biasa,”katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Zafir berkata beliau juga tidak mempunyai maklumat mengenai hasil pertemuan Ismail dengan Tuanku Muhriz pada petang Selasa.
“Yang itu saya tak pasti. Pertemuan beliau dengan Tuanku semalam, saya tidak ada maklumat,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata tidak menerima sebarang arahan daripada pihak istana untuk menghadap Tuanku Muhriz bagi membincangkan perkembangan politik negeri berkenaan.
Isu kedudukan Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh menjadi perhatian selepas pengumuman pimpinan Barisan Nasional (BN) mengenai peletakan jawatannya pada malam Isnin lalu.
Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan sebelum ini menjelaskan bahawa sebarang peletakan jawatan Menteri Besar perlu dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan baginda.
Semalam, Tuanku Muhriz dilaporkan berkenan menerima menghadap Ismail susulan kemelut semasa yang melanda negeri itu dengan sesi menghadap bermula kira-kira jam 5 petang dan berakhir pada 6.30 petang.