KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) memantau produk jeli di pasaran tempatan secara berterusan termasuk produk konjak jeli yang mendatangkan risiko tercekik kepada kanak-kanak.

Pengarah Kanan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Norrani Eksan berkata berdasarkan pemantauan dari 2018 hingga kini, sebanyak 649 produk jeli telah disampel dan 352 daripadanya adalah produk konjak jeli.

"Enam sampel produk jeli telah dikesan tidak mematuhi Peraturan 139A dan telah dikenakan tindakan penarikan balik produk oleh KKM," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Di Malaysia, produk konjak jeli dikawal di bawah Peraturan 139 (konfeksi sajian) yang menyatakan jeli dengan diameter melebihi 45 milimeter boleh mengandungi konjak dan Peraturan 139A (konfeksi jeli terkawal) iaitu jeli dengan diameter kurang atau sama dengan 45 milimeter tidak boleh mengandungi konjak.

Selain itu, label produk bagi kategori 139A hendaklah mengandungi pernyataan 'Amaran: Boleh Menyebabkan Risiko Tercekik' dan perkataan 'Tidak Sesuai Bagi Kanak-kanak di bawah Umur Tiga Tahun'.

Konjak adalah sejenis tumbuhan mempunyai tinggi kandungan serat, dipanggil glukomannan atau disebut juga konnyaku, konjonac atau serbuk taro atau tepung keladi. Produk konjak jeli mempunyai tekstur yang kenyal, sukar larut ketika di dalam mulut dan sukar untuk ditelan berbanding produk jeli yang lain.

Industri menggunakan bahan aditif makanan tersebut yang berfungsi sebagai bahan pemekat dalam penghasilan jeli dan mempunyai tekstur kenyal, sukar larut dalam mulut dan sukar untuk ditelan berbanding produk jeli yang lain.

Norrani berkata mengambil kira risiko yang wujud, penambahan konjak bagi produk jeli adalah dibenarkan di Malaysia berdasarkan pada saiz jeli yang dihasilkan dan kawalan ke atas produk itu dibuat dengan menetapkan saiz dan amaran pada label produk.

Beliau berkata KKM mengambil maklum isu yang tular melalui media sosial berkaitan produk konjak jeli yang didakwa berbahaya dan boleh memberi risiko kepada kanak-kanak.

"Isu ini telah menjadi perhatian sejak 2001 apabila terdapat laporan penjualan konjak jeli yang mempunyai risiko tercekik pada kanak-kanak," menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa memantau pengambilan produk konjak jeli oleh anak-anak bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.

Beliau juga menyeru orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan penjualan konjak jeli ke Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat, atau melalui laman sesawang aduan awam KKM http://moh.spab.gov.my atau Facebook BKKM http://www.facebook.com/bkkmhq.

-- BERNAMA