KUALA LUMPUR : Kementerian Kesihatan (KKM) menitikberatkan usaha memperkukuh keselamatan makanan negara termasuk memastikan makanan yang dihasilkan selamat dan mematuhi standard keselamatan makanan yang telah ditetapkan dengan melaksanakan pelbagai strategi dan intervensi.

Sempena Hari Keselamatan Makanan Sedunia (WFSD), Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, KKM, melalui Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya termasuklah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 menguatkuasakan standard makanan dan peruntukan kebersihan makanan di mana pihak pengusaha makanan wajib mematuhi peraturan sebelum sesuatu produk makanan dipasarkan.

"KKM juga bekerjasama dengan agensi-agensi lain yang turut menyumbang kepada kawalan keselamatan makanan di sepanjang rantaian makanan, daripada ladang hingga ke meja makan.

"KKM turut mengadakan aktiviti sambutan WFSD bagi menekankan kepentingan keselamatan makanan di kalangan masyarakat.

"Bersempena Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Tahun 2023, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) melaksanakan hebahan kempen keselamatan makanan melalui radio, televisyen serta media sosial.

"Terdapat juga pihak yang berkepentingan yang turut bekerjasama membuat hebahan berkaitan di pasaraya-pasaraya atau laman sesawang mereka," ujarnya.

Selain itu, KKM juga akan mengadakan program Apron Walk peringkat Kebangsaan pada bulan September 2023 yang terbuka kepada orang awam, pengusaha makanan, kumpulan pasaraya, akademia, agensi Kerajaan dan bukan Kerajaan, dalam meningkatkan usaha bersepadu pelbagai pihak bagi memastikan objektif utama keselamatan makanan difahami dan dilaksanakan oleh pelbagai pihak tercapai.

KKM akan terus menerajui dan memperkukuh kawalan keselamatan makanan negara bersama-sama semua pihak yang berkepentingan lain bagi memastikan rakyat Malaysia terus menikmati makanan yang selamat dan berkualiti.

Tema sambutan WFSD pada tahun 2023 adalah “Food Standards Save Lives.”

Tema tahun ini memfokuskan kepada peranan penting standard makanan dalam menghasilkan makanan yang selamat dan berkualiti untuk pengguna serta melindungi kesihatan pengguna.

Sambutan ini dilihat signifikan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan keselamatan makanan bagi melindungi kesihatan pengguna di peringkat global.