NATIONAL
KKM rangka RUU Pemakanan, kawal nutrisi rakyat Malaysia

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni bagaimanapun berkata RUU berkenaan tidak akan dibentangkan di Parlimen tahun ini. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang merangka Rang Undang-Undang (RUU) Pemakanan selepas kertas cadangan mengenainya diluluskan oleh Jemaah Menteri.
Ringkasan AI
- Kementerian Kesihatan sedang merangka RUU Pemakanan, tetapi ia tidak akan dibentang di Parlimen tahun ini.
- KKM komited tangani obesiti kanak-kanak melalui program JU C-HAT dan pelan strategik 20232030.
- Data NHMS menunjukkan satu daripada tiga kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti.
Pada Oktober lepas, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Dewan Rakyat Suhaizan Kaiat berkata Akta Pemakanan Malaysia akan digubal untuk mengawal nutrisi makanan rakyat khususnya kanak-kanak.
Selain itu, Lukanisman berkata KKM komited meneruskan usaha membendung obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan remaja menerusi penganjuran JU C-HAT Peringkat Kebangsaan Tahun 2025, yang bertujuan menyokong pelaksanaan Pelan Strategik Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan Dalam Kalangan Kanak-Kanak Malaysia 2023-2030.
Beliau berkata berdasarkan Laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), prevalens berlebihan berat badan dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak terus meningkat.
"Bagi kanak-kanak berumur bawah 5 tahun, kadar ini meningkat daripada 5.6 peratus pada 2019 kepada enam peratus pada 2022.
"Bagi remaja berumur 13 hingga 17 tahun, prevalens meningkat daripada 28.5 peratus pada 2017 kepada 30.5 peratus pada 2022 dan ini menunjukkan bahawa seorang daripada tiga kanak-kanak mengalami masalah berlebihan berat badan atau obesiti," katanya.
Lukanisman berkata selain daripada inisiatif JU C-HAT, KKM juga menggunakan pendekatan menyeluruh melalui penubuhan Jawatankuasa Kerja Menangani Masalah Obesiti di Malaysia yang dianggotai oleh pelbagai kementerian, jabatan dan agensi.
Beliau berkata sejak pelaksanaan JU C-HAT pada 2019, sebanyak 1,207 aktiviti dijalankan oleh kumpulan sukarelawan terlatih di seluruh negara.
Konvensyen JU C-HAT anjuran bersama Persatuan CAKNA Sihat Malaysia dan Bahagian Pemakanan KKM itu menghimpunkan lebih 300 peserta terdiri daripada jurulatih, pakar pemakanan, guru serta ibu bapa dari seluruh negara dalam usaha memperkukuh ilmu, perkongsian pengalaman dan jaringan kerjasama ke arah amalan gaya hidup sihat dalam kalangan murid sekolah.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami