Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan hospital swasta di negara ini mewujudkan klinik bergerak di kawasan luar bandar bagi menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada masyarakat.

Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata klinik bergerak itu boleh dilaksanakan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) hospital berkenaan.

"Menerusi klinik bergerak inilah mereka boleh mencurahkan khidmat bakti mereka kepada masyarakat yang tinggal di kawasan luar bandar atau kampung.

"Perkhidmatan ini juga sebagai usaha menangani masalah kesesakan di klinik-klinik kesihatan sedia ada selain membantu masyarakat mendapat rawatan kesihatan di peringkat awal tanpa ke klinik yang agak jauh dari penempatan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Klinik Bergerak Sutera di sini yang dikendalikan oleh Yayasan Avisena iaitu yayasan milik Avisena Specialist Hospital.

Turut hadir, Pengerusi Yayasan Avisena Datuk Ibrahim Md Yusof.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata usaha mewujudkan klinik bergerak itu dilihat mampu memberi kesedaran kepada masyarakat untuk melakukan pemeriksaan kesihatan supaya dapat mengesan penyakit lebih awal.

"Seperti penyakit kencing manis, sekiranya pesakit mengetahui mereka mempunyai penyakit ini lebih awal pasti mereka akan lebih berhati-hati dalam menjaga pemakanan mereka.

"Sebab itu kita galakkan supaya adanya klinik sebegini... kita mahu hospital swasta lain mencontohi usaha yang dilakukan Avisena Specialist Hospital ini," katanya.

Sementara itu, Ibrahim berkata Klinik Bergerak Sutera dilengkapi pelbagai kemudahan asas perubatan selain rawatan kesihatan diselia oleh doktor dan jururawat.

Beliau berkata rawatan yang diberikan merangkumi perkhidmatan rawatan kesihatan umum yang diperlukan masyarakat di luar bandar.

"Antara perkhidmatan yang ditawarkan ialah rawatan pesakit luar seperti demam, batuk dan selsema, pemantauan asas penyakit kronik yang stabil dan terkawal seperti darah tinggi, diabetis dan asma serta prosedur rawatan ringan seperti mencuci luka.

"Klinik bergerak ini menyediakan perkhidmatan di sembilan lokasi di Selangor di mana lawatan akan dibuat setiap minggu ke satu kampung mengikut giliran, membabitkan waktu operasi pada hari Ahad bermula 10 pagi hingga 3 petang," katanya.

Antara lokasi klinik tersebut ialah Kampung Rinching Hulu, Beranang; Sungai Gulang-Gulang, Tanjong Karang; Kuala Pangsun, Hulu Langat; dan Labohan Dagang, Banting. -- Bernama