SEMPORNA: Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan 80 peratus populasi dewasa di Sabah akan menerima vaksin lengkap pada hujung Oktober menerusi lebih 100 program vaksinasi yang telah dan sedang dilaksanakan.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) turut memperhebatkan Program Outreach Vaksinasi COVID-19 dan PPV bergerak di seluruh negeri itu.

“KKM menyasarkan 60 peratus penduduk dewasa Sabah akan mendapat vaksin lengkap pada hujung bulan September manakala 80 peratus lengkap pada hujung bulan Oktober.

“Bagi kawasan Pulau Larapan, Program Outreach di Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan Larapan mendapat sambutan yang amat baik dari penduduk sekitar.

"Ini juga melibatkan penduduk dari pulau berdekatan yang mana dos vaksin CanSino iaitu satu dos tunggal disediakan sebanyak 1,000 dos hari ini,’’ katanya ketika mengadakan lawatan ke Pulau Larapan,Semporna pada Selasa.

BACA: Vaksin COVID-19 CanSino: Penduduk tanpa dokumen pengenalan turut diberikan suntikan - KJ

Tambah Khairy, daerah Semporna akan menerima 16,000 dos vaksin jenis CanSino dengan 3,000 dos sudah diberikan setakat ini.

Ujarnya, penggunaan vaksin tersebut akan memudahkan penduduk di pedalaman dan pulau sekali gus tidak memerlukan mereka untuk mendapatkan suntikan dos kedua.

‘’Saya tanya mereka yang hadir mereka tahu dan sedar vaksin ini untuk memastikan mereka dan keluarga selamat daripada virus, malah penduduk yang hadir terdiri daripada penduduk dari pulau-pulau lain.

‘’Mereka dapat maklumat menerusi 'Kumpulan WhatsApp' dan ketua masyarakat mereka, ini menunjukkan tahap penyampaian daripada pihak kita (KKM) sudah bertambah baik.

‘’Malah ia juga membuktikan orang ramai termasuk di pedalaman dan pulau seperti mereka mulai sedar kepentingan untuk mendapatkan vaksin,” tambahnya.


Vaksin Cansino | Penduduk tanpa dokumen juga diberi suntikan - KJ

Selain itu Khairy, pihak kementeriannya telah berhubung dengan Ketua Menteri Sabah dan memberitahu bahawa jumlah stok vaksin CanSino akan ditambah dan akan memberi keutamaan kepada negeri itu.