PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan negara bakal mencapai kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught COVID-19 kurang 1.0 menjelang Mei depan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, perkara itu dilihat berdasarkan trend penurunan kes mengikut negeri yang dicapai setakat hari ini.

Katanya, bagaimanapun pencapaian ini bergantung kepada kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam kalangan rakyat.

“Berdasarkan penelitian kes menunjukkan kadar Rt berada pada paras 0.87 berbanding 0.9 pada dua minggu lalu dan kejayaan ini dicapai berdasarkan SOP yang ditetapkan kerajaan.

“Data ini melihat trend penurunan kekal dan jika rakyat terus patuh kepada SOP, kita jangkakan kes akan berada dalam lingkungan 500 sehari menjelang Mei depan,” katanya dalam sidang media mingguan Perkembangan Program Imuniasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di sini, pada Isnin.

Turut hadir Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin.

[TERKINI] Perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan

Dalam pada itu, Dr Adham berkata, sebanyak 11 daerah di Semenanjung memperoleh status zon hijau berbanding enam daerah pada 28 Februari lalu.

Katanya, 11 daerah di Sarawak manakala dua daerah di Sabah juga telah bertukar status kepada zon hijau.

“Status daerah yang berada dalam zon merah juga telah berkurang di seluruh negara.

“Justeru, kami merayu agar semua rakyat terus patuh kepada SOP yang ditetapkan dan mengamalkan budaya atau normal baharu untuk kita sama-sama putuskan jangkitan virus ini,” ujarnya.

COVID-19 | Jangka kes baharu turun kepada 500 menjelang Mei