Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengkaji risiko jangkitan penyakit selain COVID-19 dalam kalangan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang boleh menjejaskan kesihatan rakyat Malaysia secara keseluruhan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia termasuk jangkitan penyakit yang sudah lama pupus di negara ini namun berisiko muncul kembali seperti tibi.

"KKM akan melihat dari sudut kesihatan. Bukan hanya bimbang jangkitan COVID-19 tetapi kita bimbang kalau ada jangkitan lain seperti tibi sebagainya.

"Adalah amat penting untuk kita duduk berbincang. Dari segi aspek kesihatan, semua sektor adalah berkait kesihatan.

"Jadi kalau boleh bersama untuk dapatkan satu penyelesaian supaya kita boleh kurangkan jangkitan penyakit berjangkit dalam kalangan bukan warganegara Malaysia," katanya dalam sidang media harian di sini pada Khamis.

Malah, pihaknya juga pada masa sama sedia berbincang dengan pihak lain berkenaan hala tuju, kekangan dan cabaran dalam menangani jangkitan dalam kalangan PATI.

"Cadangan telah diberikan. Mungkin kita akan menyusuli dengan kementerian-kementerian lain dan NGO untuk mengadakan mesyuarat dan menentukan hala tuju.

"Jadi kita kena lihat secara holistik, baru kita akan dapatkan penyelesaian untuk satu tempoh jangka masa panjang," ujarnya.

Sebelum ini, wujud cadangan supaya KKM mengambil langkah pengawalan penyakit berjangkit dalam kalangan warga asing seperti yang dilakukan terhadap pesakit HIV.