PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) telah menerima sebanyak 1,843 rayuan daripada pegawai perubatan untuk kekal di penempatan sedia ada mahupun bertukar ke penempatan lain susulan urusan penempatan bagi pelantikan tetap yang dibuat pada 9 hingga 24 Jun lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, mesyuarat Jawatankuasa Rayuan telah bersidang sebanyak dua kali bagi mempertimbangkan rayuan pegawai.

Jawatankuasa itu dianggotai oleh wakil Bahagian Perkembangan Perubatan, Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga dan Bahagian Perkembangan Kesihatan Awam manakala Bahagian Sumber Manusia pula sebagai urus setia.

"Setelah diteliti justifikasi yang dikemukakan, mengambil kira kesinambungan perkhidmatan secara menyeluruh dan faktor kekosongan jawatan, rayuan yang mempunyai asas kukuh telah diluluskan dan keputusan rayuan telah dimaklumkan kepada pegawai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Muhammad Radzi berkata KKM menghargai semua pegawai perubatan, pegawai pergigian serta pegawai farmasi yang telah melaporkan diri ke tempat bertugas baharu pada 31 Julai lepas kerana mendahulukan kepentingan perkhidmatan.

"Melalui penempatan baharu ini, pegawai akan memperoleh lebih pendedahan mengenai sistem kesihatan serta berupaya membangunkan kapasiti diri dan pengalaman itu akan menjadikan pegawai lebih matang, empati dan berdaya tahan dalam mengharungi kerjaya sebagai penjawat awam," katanya.

Beliau berkata KKM sentiasa mengambil kira maklum balas berkaitan urusan penempatan dan pertukaran serta perkara tersebut akan dikendalikan berdasarkan struktur jawatankuasa yang ditubuhkan.

Dr Muhammad Radzi berkata pelantikan pegawai perubatan kontrak ke jawatan tetap telah dilaksanakan secara besar-besaran pada 2022 dan diteruskan tahun ini dengan penawaran pelantikan tetap berdasarkan 4,263 kekosongan jawatan tetap di fasiliti kesihatan seluruh negara terutama di Sabah, Sarawak, Johor dan Pahang.

-- BERNAMA