PUTRAJAYA:Dasar khas berkenaan industri muzik tempatan akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet bagi memastikan pertumbuhan industri itu serta kebajikan penggiatnya terbela.

Menurut Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, langkah itu diambil berikutan setakat ini masih tiada kerangka khusus termasuk badan atau undang-undang yang jelas mengenainya.

“Sebelum ini, saya ada menyebut bahawa satu daripada kaedahnya ialah dengan mempunyai sebuah undang-undang iaitu Akta Perbadanan Muzik yang masih dalam peringkat draf.

“Namun, itu dari segi undang-undang... tidak semua perkara boleh diselesaikan dengan undang-undang, mungkin perlu ada juga kaedah yang lain,” jelas Saifuddin.

Beliau berkata demikian ketika menyerahkan sumbangan barangan keperluan harian menerusi inisiatif KKMM Prihatin kepada penggiat seni muzik tanah air yang terjejas sumber pendapatan akibat wabak COVID-19.

BACA: KKMM sumbang barang keperluan harian kepada penggiat muzik tanah air 

“Ia memang khusus untuk pemuzik, saya sedar jumlah yang kita bagi pada hari ini amat kecil, tetapi ini adalah permulaan.

“Saya juga sedar bahawa kita belum mempunyai sesuatu kerangka yang khusus bagi pihak kerajaan untuk menjaga kebajikan para pemuzik, penyanyi ini... khusus dalam dunia muzik sahajalah.

“Kalau dalam filem kita ada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), tetapi dalam dunia muzik itu bukan langsung tiada, kita ada misalnya bantuan dari segi kandungan digital dan sebagainya.

“Apa yang saya maksudkan ialah satu kerangka yang melihat tentang pembangunan muzik, tentang promosi muzik di peringkat antarabangsa dan soal-soal kebajikan mereka yang terlibat dalam dunia muzik," katanya.

Terdahulu, sumbangan tersebut diserahkan secara pandu lalu kepada 50 orang pemuzik yang diwakili secara simbolik oleh lima orang Pengerusi Pertubuhan di Kompleks KKMM.

Turut hadiri sama ialah Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Seri Mohammad Mentek; Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan Ahli Perbadanan FINAS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan FINAS, Datuk Seri Eizlan Yusof.