PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mungkin memerlukan bantuan pihak berkuasa luar bagi melengkapkan siasatan kes ciapan tidak senonoh di akaun Twitter rasmi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata Jawatankuasa Siasatan Kes Ciapan Tidak Senonoh Tahun 2014 di Akaun Rasmi Twitter MCMC telah membuat siasatan yang mendalam namun terdapat kekangan apabila ada individu yang dikatakan terlibat tidak lagi bertugas di MCMC.

"Saya telah melihat laporan itu. Jawatankuasa itu telah membuat siasatan yang komprehensif dan mendalam. Namun, jawatankuasa itu ada kekangan kerana ada individu yang dikatakan terlibat tidak lagi bertugas di MCMC dan jawatankuasa tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat.

"Jadi saya telah arahkan KSU (Ketua Setiausaha) KKMM Datuk Seri Mohammad Mentek untuk melihat kemungkinan meminta bantuan daripada pihak berkuasa di luar KKMM untuk menyelesaikan masalah ini," katanya ditanya mengenai status penyiasatan akaun twitter MCMC.

Saifuddin berkata demikian kepada media selepas sesi libat urus secara maya bersama syarikat teknologi terkemuka iaitu Google, Microsoft, Facebook dan Amazon, di sini hari ini.

Pada Januari lepas, kecoh di media sosial mengenai beberapa hantaran jelik di akaun twitter rasmi MCMC sehingga menyebabkan suruhanjaya itu terpaksa menggantung akaun itu buat sementara waktu.

Susulan itu juga, satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyiasat kes itu.

Sementara itu, Pengerusi MCMC Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata pihaknya telah selesai menjalankan menyiasat berhubung kes berkenaan dan laporannya juga telah dihantar kepada KKMM.

-- BERNAMA