KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya menganggarkan kira-kira RM200 juta diperlukan bagi membaik pulih kerosakan jalan raya di beberapa buah negeri yang terjejas teruk akibat banjir baru-baru ini.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jumlah itu telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk kelulusan di bawah dana bencana.

Jelas Ahli Parlimen Petra Jaya itu lagi, setakat ini Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah menjalankan projek pemulihan sementara bagi membolehkan laluan dibuka dengan kadar segera.

“Kita telah kenal pasti RM200 juta lebih untuk pembaikan kekal… tapi ada negeri minta lebih. Misal kata di Pahang saja memerlukan RM1.2 bilion untuk membaik pulih kerosakan jalan raya... kalau ikut data diberikan ini termasuk keseluruhan, bukan saja jalan, (tapi) cerun dan sebagainya. 

“Ini juga termasuk tambah baik jalan, untuk menaik taraf misalnya... sebab jalan di kawasan rendah itu perlu dinaikkan pada masa akan datang. Itu juga dalam wish list peringkat negeri, tapi sudah pasti akhirnya yang kita kemukakan setakat ini ialah yang diperlukan segera untuk dilaksanakan,” katanya lagi.

BACA: JKR terima 267 laporan kerosakan jalan akibat banjir di enam negeri

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Surat Setuju Terima (SST) dan Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Persimpangan Bertingkat di atas Lintasan Kereta Api di Pekan Tanah Merah, Kelantan.

Sebelum ini, media melaporkan JKR menerima 267 laporan berhubung kerosakan jalan raya, jambatan, cerun runtuh dan jalan mendap membabitkan enam negeri yang dilanda banjir, baru-baru ini.

Antara kerosakan dilaporkan membabitkan 141 jalan, 58 cerun runtuh, lapan jalan mendap dan tiga jambatan rosak.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, beliau telah menyampaikan SST kepada kontraktor bagi dua projek bernilai melebihi RM400 juta.

Projek pertama ialah projek pembinaan jalan masuk utama sepanjang 1.5 kilometer (km) ke Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah, manakala projek kedua ialah Projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai (KBKK), Pakej 2c Dan 3a; Kok Lanas ke Bukit Tiu.

Fadillah berkata, kementerian pelanggan bagi projek UMS ialah Kementerian Pengajian Tinggi, dengan tempoh kontrak selama 24 bulan bermula 15 Mac, 2021.

Bagi projek Lebuh Raya KBKK, ia melibatkan jajaran 19.13 km daripada keseluruhan 71.4 km, dan tarikh pembinaan akan berjalan selama 36 bulan bermula 6 Mac, 2021.