MALAYSIA
KKR perlu pastikan pelaksanaan MLFF tidak beri implikasi kewangan kepada kerajaan, pengguna - PAC

Mas Ermieyati berkata, PAC turut berpandangan setiap keputusan mengenai pelaksanaan apa jua sistem yang diperkenalkan selepas ini mestilah memberi manfaat serta meningkatkan keberkesanan dalam mengatasi kesesakan trafik. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berpandangan Kementerian Kerja Raya (KKR) perlu memastikan tiada implikasi kewangan kepada kerajaan dan pengguna dalam cadangan hala tuju pelaksanaan Sistem Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) yang akan dimuktamadkan kelak.
Ringkasan AI
- PAC menegaskan Kementerian Kerja Raya perlu memastikan tiada implikasi kewangan kepada kerajaan dan pengguna dalam pelaksanaan sistem MLFF, serta menambah baik keberkesanan kutipan tol sedia ada bagi mengurangkan kesesakan sebelum sistem baharu dilaksanakan.
- PAC menyarankan LHDN mempergiat penguatkuasaan undang-undang dan pemantauan berterusan bagi mengurangkan risiko Akaun Belum Terima serta rayuan pembayar cukai, selain membendung ketirisan dan penipuan dalam pembayaran cukai.
- PAC menyokong pelaksanaan e-Invois dan menekankan keperluan sokongan menyeluruh kepada pembayar cukai, khususnya PMKS, agar mereka bersedia mematuhi keperluan perundangan dengan berkesan sepanjang tempoh peralihan.
"PAC memohon KKR untuk memaklumkan perkembangan berhubung hala tuju pelaksanaan sistem MLFF sebagai rujukan dan perhatian PAC secara bertulis.
"Selain itu, PAC menggesa agar keberkesanan dan kecekapan kutipan tol sedia ada ditingkatkan sebagai langkah segera untuk mengurangkan kesesakan lebuh raya sebelum MLFF dilaksanakan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mas Ermieyati berkata perkara itu antara perkara yang disyorkan dalam Penyata PAC Terhadap Tindakan Susulan KKR dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Bagi Syor-Syor PAC Parlimen Berhubung Pengurusan Pelaksanaan Projek MLFF yang dibentangkan semalam.
Selain penyata berkaitan isu projek MLFF, turut dibentangkan Penyata PAC Terhadap Tindakan Susulan Kementerian Kewangan (MOF) Dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) Bagi Syor-Syor Penyata PAC Parlimen Berhubung Pengurusan Akaun Belum Terima LHDN.
Bagi isu melibatkan LHDN, Mas Ermieyati berkata PAC menyarankan supaya lembaga itu terus mempergiat tindakan penguatkuasaan undang-undang sedia ada, selain membuatpenambahbaikan dari semasa ke semasa.
PAC juga katanya menyarankan LHDN mempergiat usaha dalam mengurangkan risiko peningkatan Akaun Belum Terima dan rayuan oleh pembayar cukai.
Beliau berkata LHDN hendaklah melaksanakan pemantauan yang berterusan bagi memastikan keberkesanan proses pentaksiran cukai secara keseluruhan serta lebih proaktif menguatkuasakan undang-undang bagi membendung ketirisan dan penipuan dalam pembayaran cukai.
"Berhubung pelaksanaan e-invois, PAC mengalu-alukan inisiatif kerajaan seperti yang diumumkan pada 5 Jun 2025 yang mengambil kira komitmen pembayar cukai terutamanya peniaga dari kategori Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam mematuhi keperluan perundangan e-Invois yang memerlukan tempoh persediaan secukupnya
"PAC menyarankan pihak LHDN memberikan sokongan dan panduan yang menyeluruh kepada semua pembayar cukai sepanjang tempoh persediaan pelaksanaan e-Invois," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami