KLAAS perkasa kampus lestari, mahasiswa jadi 'nadi udara bersih negara'

Majlis pelancaran Kampus Lestari Anugerah Alam Sekitar. - Gambar/ JAS
KUALA LUMPUR: Program Kampus Lestari Anugerah Alam Sekitar (KLAAS) yang diperkenalkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) merupakan inisiatif nasional pertama yang mengiktiraf usaha kelestarian di institusi pendidikan tinggi (IPT) seluruh negara.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Jabatan Alam Sekitar, Azuri Azizah Saedon, KLAAS merupakan kesinambungan kepada program Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) dan kini diperluas kepada lima kategori IPT termasuk Universiti Awam (UA), IPT Swasta, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Politeknik dan Kolej Komuniti.
“KLAAS ini bukan sekadar penarafan, tetapi satu ekosistem kerjasama antara Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui JAS, KPT dan KPM untuk melahirkan generasi Madani yang cakna terhadap alam sekitar,” katanya dalam rancangan AWANI Pagi pada Khamis.


KLAAS kini diperluas kepada lima kategori IPT termasuk Universiti Awam (UA), IPT Swasta, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Politeknik dan Kolej Komuniti.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Strategik, JAS, Roslina Diwa, berkata selain menjadi platform pengiktirafan, KLAAS turut berperanan membentuk kampus lestari melalui pengukuhan tadbir urus kelestarian.
Katanya, ia melibatkan aspek pentadbiran, sistem pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan serta perkhidmatan yang menyeluruh dalam ekosistem kampus.
“Kita mahu kampus menjadi model pembangunan mampan - bukan sahaja dari segi infrastruktur, tetapi juga budaya dan gaya hidup hijau dalam kalangan warganya,” jelasnya.
Dalam konteks KLAAS, mahasiswa dilihat sebagai nadi perubahan, yang bukan sahaja menjadi penerima ilmu, tetapi pelaksana budaya hijau yang memberi impak langsung kepada kualiti udara dan persekitaran.
Beberapa IPT yang telah pun bermula sebagai Kampus Lestari turut melaksanakan inisiatif seperti “Hari Kampus Tanpa Asap” dan penggunaan mobiliti hijau seperti bas elektrik dan e-scooter.

mahasiswa dilihat sebagai nadi perubahan, yang bukan sahaja menjadi penerima ilmu, tetapi pelaksana budaya hijau yang memberi impak langsung kepada kualiti udara dan persekitaran.
Langkah ini bukan sahaja mengurangkan pelepasan karbon, malah menjadikan kampus sebagai ekosistem mini untuk udara bersih.
“Mahasiswa adalah agen perubahan. Melalui KLAAS, mereka dididik untuk faham bahawa menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab bersama, bukan hanya terletak pada bahu kerajaan atau industri,” tambah Roslina.
Kitar pertama program KLAAS akan bermula tahun ini bagi sesi 2025/2027, dengan penyertaan dijangka dibuka mulai 1 Disember 2025. IPT yang berminat boleh mendaftar secara dalam talian melalui Sekretariat Kampus Lestari dan maklumat lanjut akan diumumkan menerusi portal rasmi JAS di www.doe.gov.my.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


