KUALA LUMPUR: Klausa 5.2.3 di bawah perjanjian perdagangan Malaysia-Amerika Syarikat yang memperuntukkan penubuhan mekanisme bersama bagi menilai pelaburan masuk ke dalam negara, khususnya melibatkan unsur nadir bumi dan mineral kritikal, tidak mempunyai implikasi langsung terhadap hasil negeri seperti royalti dan premium tanah.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Syed Ibrahim Syed Noh berkata penetapan klausa itu juga tidak menjejaskan kuasa kerajaan negeri terhadap sumber mineral kerana berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, mineral terletak di bawah Jadual Kesembilan, Senarai II, Kerajaan Negeri.
Advertisement
“Dari sudut Perlembagaan Persekutuan, mineral adalah di bawah Jadual Kesembilan, Senarai II, Kerajaan Negeri. Maka, kuasa memberikan milikan tanah, pajakan perlombongan, kebenaran melombong, dan royalti kekal di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“Perkara (Klausa) 5.2.3 ini tidak memindahkan kuasa tersebut kepada Kerajaan Persekutuan dan tidak menjejaskan hak negeri terhadap sumber mineral masing-masing,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Pele Peter Tinggom tentang implikasi langsung kepada kerajaan negeri sekiranya Perkara 5.2.3 berkenaan mineral kritikal dikuatkuasakan memandangkan mineral di bawah Jadual Kesembilan, Senarai II, Kerajaan Negeri dan bukannya di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
Syed Noh berkata mekanisme yang dicadangkan itu berpotensi meningkatkan keyakinan pelabur berkualiti tinggi serta menggalakkan pembangunan pemprosesan dan aktiviti hiliran di dalam negara.
Langkah itu juga, katanya, ialah komitmen dalam memastikan aspek keselamatan pelaburan, selaras dengan amalan antarabangsa seperti kerangka kawalan pelaburan di Australia dan Kesatuan Eropah.
“Tujuannya adalah untuk menilai risiko pengambilalihan atau pelaburan asing yang boleh menjejaskan keselamatan negara, rantaian bekalan strategik atau teknologi sensitif. Ia bukan instrumen untuk mengambil alih kuasa negeri,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata dari segi penyelarasan dan perkongsian maklumat, sekiranya pelaburan asing dalam sektor mineral kritikal dikenal pasti mempunyai risiko keselamatan, pelaburan itu akan tertakluk kepada semakan tambahan pada peringkat Persekutuan sebelum dimuktamadkan, namun kelulusan pajakan dan lesen perlombongan tetap berada di bawah kuasa negeri.
-- BERNAMA