Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan sebagai detik yang penting bagi negara apabila penerbangan pertama mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada hari Jumaat.

"Pada 12.05 pagi ini, penerbangan sulung mendarat di #KLIA2. Satu detik yang sangat penting bagi Malaysia!," kata perdana menteri dalam mesej Twitter terkini beliau pada Jumaat.

Lapangan terbang klia2, terminal tambang rendah terbesar di dunia dengan kemudahan bertaraf antarabangsa bagi syarikat penerbangan tambang rendah, memulakan operasinya pada hari Jumaat dengan ketibaan pesawat Malindo Air OD1027 dari Kota Kinabalu pada 12.05 pagi.

Pesawat pertama berlepas dari lapangan terbang itu ialah Cebu Pacific Airways (5J502) ke Manila kira-kira 3.15 pagi Jumaat.