MELAKA: Inisiatif mewujudkan Klinik Kesejahteraan Lelaki oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) berjaya menarik lebih ramai golongan lelaki menjalani saringan kesihatan reproduktif dan kesuburan.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata inisiatif itu sekali gus memecahkan stigma bahawa masalah mendapatkan zuriat hanya berpunca daripada wanita, dan meningkatkan tahap keterbukaan golongan lelaki untuk mendapatkan pemeriksaan awal demi kesejahteraan diri serta keluarga.
"Sebenarnya tanpa kita sedari, masalah kesuburan ini boleh berpunca daripada lelaki. Jadi kemudahan yang disediakan oleh LPPKN ini amat baik untuk membantu mereka mendapatkan pemeriksaan dan nasihat awal," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Bapa Peringkat Negeri Melaka 2026 dan Advokasi Kesejahteraan Lelaki dan Wanita (WCare), di Kompleks Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Melaka, Bukit Katil, di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah LPPKN Melaka Suszma Khairitszi Mamat dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Mohd Zaidi Ma'at.
Beliau berkata selain saringan kesuburan, klinik itu juga menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk saringan kesihatan seperti tekanan darah dan tahap glukosa, yang dapat membantu golongan lelaki mengesan masalah kesihatan lebih awal.
"Disebabkan itu, kita amat menggalakkan golongan lelaki, khususnya di Melaka ini menggunakan kemudahan tersebut kerana kesihatan reproduktif bukan sahaja penting kepada individu, malah memberikan kesan kepada kesejahteraan institusi keluarga dan negara," katanya.
Dalam pada itu, Suszma Khairitszi berkata peningkatan kadar kehadiran golongan lelaki ke klinik berkenaan sejak tahun lepas memberikan petanda positif terhadap kesedaran menjalani ujian saringan reproduktif.
“Cabaran utama ialah masih wujud stigma dan rasa malu dalam kalangan lelaki untuk hadir ke klinik . Disebabkan inilah LPPKN mengubah pendekatan dengan turun padang melalui program advokasi bagi mendekati golongan sasar sebelum mereka hadir mendapatkan perkhidmatan di klinik.
"Pada tahun ini, sebanyak 16 orang sudah hadir ke klinik untuk menjalani ujian saringan dan kita menyasarkan hingga 100 orang menjelang hujung tahun ini,” katanya.
Beliau berkata klinik yang diwujudkan sebagai ruang yang kondusif, privasi dan mesra pelanggan itu telah berjaya meyakinkan golongan lelaki tampil mendapatkan rawatan, pemeriksaan awal dan nasihat pakar tanpa rasa janggal.
Sementara itu, LPPKN Melaka akan meneruskan program pemerkasaan kebapaan pada tahun ini bagi memperkukuh peranan bapa dalam institusi keluarga serta menyokong usaha melahirkan generasi yang lebih sejahtera.
-- BERNAMA