Penyanyi rap kontroversi, Namawee atau nama sebenarnya Weng Meng Chee, 32, dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh tahanan reman empat harinya tamat, pada Khamis.

Pendaftar Mahkamah Majistret Georgetown, Ahmad Tajudin Zaini, menolak permohonan polis menyambung tempoh reman penyanyi berkenaan.

Namawee tiba di mahkamah pada jam 11.34 pagi dan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Timur Laut pada jam 12 tengahari.

Ahad lalu, Namewee ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, sejurus tiba dari Taiwan dan dibawa ke Mahkamah Majistret George Town untuk direman.

BACA: Klip video Namewee: Polis dapatkan bantuan Interpol kesan tiga penyanyi lain

Pada Isnin, Namawee direman bagi membantu siasatan kes muzik video bertajuk ‘oh my god’ yang didakwa menghina agama.


Video berdurasi lebih empat minit itu memaparkan rakaman empat lelaki menyanyikan lagu berbahasa mandarin sambil menari dalam rumah ibadat, termasuk di sebuah masjid di Tanjung Bungah, di George Town.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid, berkata Namawee, dibebaskan sementara menunggu arahan lanjut Pejabat Peguam Negara.