LEBIH sedekad namanya dianggap Diva TV walaupun bukan artis. Kisah hidupnya sentiasa trending dan mencipta obses bagi netizen.

Imej selebriti bisnes mencipta senario baharu dalam katalis promosi "pop culture", sekali gus menjadikan trend gosip warga media sosial terhadap sosialit bisnes dan selebriti popular ikut berubah.

Kenapa?

Jawabnya mudah. Datuk Seri Vida (DSV) mencipta utopia baharu. Konsep dunia bisnes masa kini bukan lagi menjual produk tetapi harus dipacu suntikan selebriti.

Apakah fenomena diva ini berjaya dalam bisnes?

Sudah pasti.

Selama sedekad ini, pelbagai siri realiti TV dan hiburan popular menikmati nilai tajaan lebih RM30 juta daripada komitmen perniagaan anak Kelantan ini.

DSV berjaya mengubah realiti dominasi pasaran domestik bagi produk kesihatan dan kecantikan

DSV bergengsi melalui pelbagai jenama dan produk keluarannya yang mewarnai program tajaan siri realiti TV. Sekali pun banyak kontroversi - kesannya tetap sensasi.

DSV satu fenomena ketika formula bisnes konvensional terlalu bergantung pada manipulasi penjenamaan produk sebagai elemen bisnes.

DSV BERLUMBA MEMECAH MONOPOLI JENAMA ANTARABANGSA

DSV berjaya mengubah realiti dominasi pasaran domestik bagi produk kesihatan dan kecantikan yang selama ini dikuasai jenama antarabangsa.

Teorinya ialah menjadikan dirinya satu jenama dan produk hanya menumpang akses pasaran melalui sensasi glamornya.

Pamoga dan Qu Putih tidak akan mampu mencipta sensasi jualan mencapai RM15 juta sebulan sekiranya bergantung pada teori lapuk pemasaran.

Era taksub pada branding dan positioning sudah berlalu. DSV muncul mengubah kaedah berniaga sesuai dengan taglines "self centric I Am Me".

DSV memacu sensasi di platform TV kerana perwatakannya. Strateginya spesifik di TV kerana visual layar kaca mampu menjadikan karektornya satu fenomena.

DSV mengabaikan iklan radio dan media cetak kerana percaya: "Audio dan teks pada era ini tidak mampu mencipta sensasi personaliti."

Hasil strategi mencipta imej diva di TV, DSV menikmati sensasi viral percuma di media sosial.

Tanpa perlu berbelanja membeli pengikut di Facebook (FB) atau Instagram (IG).

DSV berjaya mengubah realiti dominasi pasaran domestik bagi produk kesihatan dan kecantikan

Status diva menjadikan dirinya tidak perlu membayar sesen pun pada kaedah pemasaran media sosial. Status diva media sosial membantunya memacu jenamanya menembusi jutaan akses akaun media sosial secara percuma.

Dua juta pengikut di Instagram dan lebih 500,000 di Facebook menjadikan kos penajaan TV melebihi RM30 juta selama sedekad ini jadi berbaloi.

Kini, dengan hanya satu hantaran post produknya di media sosial, DSV berjaya mengakses nilai iklan yang menyamai kos RM100,000 kalau berbelanja di TV.

DSV PECAHKAN MONOPOLI JENAMA ANTARABANGSA

Jangan tanya berapa hasil pendapatannya. Ketika puncak divanya menguasai trend media sosial, produk Pamoga boleh mencapai jualan RM15 juta sebulan.

Selama sedekad, DSV berjaya menguasai banyak program hiburan kelas A di pelbagai stesen TV utama.

Satu fenomena yang melenyapkan monopoli jenama gergasi antarabangsa.

Pamoga dan Qu Putih pada dekad ini antara jenama utama yang mengawal penajaan TV.

Apabila DSV membawa dirinya sebagai selebriti bisnes yang menguasai Akademi Fantasia, Gegar Vaganza dan Anugerah Juara Lagu - jenama setanding penaja yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Fenonema DSV berjaya melupuskan daya saing jenama konvensional milik syarikat antarabangsa yang selama ini berkuasa dalam kawalan iklan program TV rating utama di negara ini.

"Saya suka buat benda pelik dan baharu. Meniaga kan...," katanya dalam suara loghat Kelantan yang melucukan.

DSV berjaya mengubah realiti dominasi pasaran domestik bagi produk kesihatan dan kecantikan

Kami bertemu banyak kali sepanjang Ogos dan Oktober 2018 dalam mesyuarat formal. Saya belajar banyak perkara mengenai ketabahan dan kecerdasan semangat kerjanya.

"Self centric" antara benda baharu yang saya pelajari sebagai wartawan senior.

Juga, DSV mengajarkan saya memahami lebih banyak mengenai "kerja kuat" usahawan Bumiputera dalam mendepani cabaran perniagaan.

Tiap kali bertemu kami akan berdebat dan berbincang selama sejam. Waktu itu - saya banyak mengenali sisi "baik" dan sifat dinamik wanita ini.

Dia bukan artis "fake colour" yang berlakon dalam sesi foto dan on air TV. Malah, jauh sekali berbanding sikap "bermuka-muka" ahli politik yang dalam lima minit sahaja kita sudah tahu watak palsu mereka.

"Saya suka macam ini. Inilah saya," katanya dengan ketawa kuat hingga terdongak kepalanya dan kerusi berganjak ke belakang.

DSV YANG CEKAL DAN BERANI

DSV ada dunianya tersendiri. Personalitinya tidak dibina dalam sehari. Ia bermula pada usia sembilan tahun apabila hidup berjaja kuih mencari rezeki.

Impian untuk hidup kaya dan sohor bukan mimpi semalaman. Namun, itu impiannya sejak kecil.

"Saya suka ada semua benda. Itu motivasi untuk saya bekerja kuat," katanya.

Saya melihat baju Ed Harley dan beg LV serta segala macam jenama mewah yang dipakainya. Itu saja perbualan peribadi, sesi dua jam seterusnya ialah mengenai strategi perniagaan.

Rundingan (saya mewakili syarikat TV) terasa komplikated tetapi dinamik. Kami berdua celik bermain tarik tali. Dia usahawan sejati dan IQ bisnesnya tajam kerana sudah tiga dekad mengusahakan jenamanya sendiri.

Advantage pengalaman menjadikan DSV bijak mengendalikan strategi. Dia "buka mulut tetapi tidak membuka "lubuk".

Mendepaninya membuatkan kita belajar strategi mengatur bidak catur; DSV menanti detik "check mate".
Dia tahu mengenai strategi TV dan memahami kegunaan dan ketidakgunaan konsep TV dalam pelan promosi bisnesnya.

DSV melihat konten sebagai: "Buatkan saya popular dan saya akan buat orang bercakap mengenai produk saya".

Ini teknik DSV. Dia sudah mahir dengan "game plan" begini.

Tapi itu isi dua jam perbualan perniagaan. Sejam lagi apa?

DSV PRIHATIN PADA SEKOLAH PONDOKNYA

Kami bercakap mengenai sekolah tahfiz kendaliannya. Impiannya melihat al-Quran berada di hati anak-anak yang dijaganya.

DSV juga bercerita mengenai projek al-Quran digital yang diusahakannya untuk memudahkan proses pembacaan dan pembelajaran kalam Allah. Serta, kelas mengaji yang dianjurkan dalam ruang surau di rumahnya.

DSV berjaya mengubah realiti dominasi pasaran domestik bagi produk kesihatan dan kecantikan

Bahagian dirinya lebih romantis apabila menyentuh isu agama. Nadanya lebih wanita dan penuh kasih-sayang apabila bercerita mengenai anak-anak tahfiznya.

Matanya lebih redup dan berkaca-kaca apabila bercakap mengenai bahagian cintanya pada agama.

Haters sentiasa menyerangnya. Namun, DSV sudah dilatih mendepani cabaran hidup ketika dirinya belum kenal warna gincu dan cantiknya kehidupan.

Pada saya - DSV gambaran perjuangan. Wanita yang tabah dalam jatuh dan bangun kehidupan.


* Zainal Rashid Ahmad merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.